Bas bawa pelajar UPSI terbabas
TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Tayar hadapan pecah dipercayai menjadi punca bas yang membawa 55 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terbabas di Jalan Slim Lama berhampiran Kota Malim Prima di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, maklumat kemalangan membabitkan sebuah bas diterima pada jam 7.06 petang.
Menurutnya, 17 penumpang mengalami kecederaan ringan selepas bas terbabit terbabas ke dalam longkang.
Siasatan awal mendapati bas berkenaan dalam perjalanan dari Kampus Sultan Idris menghala ke Kampus Sultan Azlan Shah.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, tayar hadapan kanan telah pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam longkang di kiri jalan," katanya.
Menurutnya, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan menerima rawatan di Hospital Slim River dan Klinik Kesihatan Tanjung Malim.
"Pemandu bas, lelaki berusia 63 tidak mengalami kecederaan.
"Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!