PRU15: Pasar malam lokasi strategik calon berkempen
DEMAM pilihan raya memasuki hujung minggu pertama dan ramai calon berkempen di sana sini. Antara lokasi kegemaran calon ialah tempat awam seperti di pasar pagi, pasar malam dan bazaria.
Mana tidaknya, di situ ramai orang dan terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang pula.
Namun di sebalik riuh-rendah berkempen dan harga makanan yang lebih murah berbanding restoran, mungkin ramai terlupa akan masalah kebersihan di pasar malam khususnya pada akhir waktu perniagaan.
Tabiat membuang sampah di sekitar pasar malam bukanlah sesuatu yang asing. Malah ia turut dilakukan oleh pengunjung, peniaga dan mereka yang hadir mengikuti acara kempen.
Kekurangan tong sampah antara punca perbuatan membuang plastik dan bungkusan makanan sesuka hati di atas jalan, longkang dan pangkal pokok ketapang. Kesedaran sivik dalam kalangan peniaga dan pembeli nampaknya masih rendah.
Sudah tiba masanya satu usaha yang lebih komprehensif dijalankan oleh semua pihak untuk mendidik masyarakat supaya menguruskan sampah dengan lebih baik.
Mungkin calon-calon parti politik yang turun berkempen boleh menyarankan orang ramai menjaga kebersihan pasar malam. Calon juga boleh memasukkan aku janji untuk menyediakan lokasi pasar malam yang lebih teratur dan bersih.
Merak Jalanan dengar berkempen di pasar malam kadangkala lebih berkesan. Berkempen di pasar malam lebih diingati berbanding berkempen di tempat tertutup seperti dewan orang ramai, dewan badminton atau bilik gerakan parti.
Ingatan orang ramai kepada calon akan bertambah kuat jika calon parti berkenaan membeli semua juadah makanan di pasar malam dan disedekahkan kepada pengunjung di situ.
Tetapi ia mestilah dibuat sebab hendak menolong, bukannya sebagai habuan atau rasuah untuk memenangi pilihan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!