Strategi ampuh jerat Korea

Penyokong meraikan kejayaan Malaysia mara ke final Piala Sultan Azlan Shah 2022 selepas menumbangkan Jepun 4-2 di Stadium Azlan Shah, Ipoh pada Ahad lalu.
Penyokong meraikan kejayaan Malaysia mara ke final Piala Sultan Azlan Shah 2022 selepas menumbangkan Jepun 4-2 di Stadium Azlan Shah, Ipoh pada Ahad lalu.
A
A
A

TIGA elemen menjadi kunci utama yang mampu memacu skuad hoki lelaki negara mencipta sejarah bergelar juara Piala Sultan Azlan Shah 2022.

Pengendali Malaysian Tigers, Arul Selvaraj berkata, barisan pemainnya perlu beraksi dengan berani, berjiwa kental dan memiliki keyakinan diri yang tinggi jika mahu meraih gelaran sulung Piala Sultan Azlan Shah.

Justeru, beliau berkata, mereka tidak seharusnya berasa gentar apabila turun menentang pasukan lawan yang memegang status sebagai ‘Raja Asia’ dan penyandang juara.

“Kita tak gentar dan tidak pernah takut untuk menentang Korea Selatan. Malaysian Tigers mahu jadi pemenang dan muncul sebagai juara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Malaysia menempah slot ke pentas final selepas membenam Jepun 4-2 dalam aksi terakhir round robin di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh pada Isnin.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menduduki tangga kedua dengan mengumpul 10 mata - tiga mata di belakang Korea Selatan selaku pendahulu.

Bagi merealisasikan impian bergelar juara, Arul menerapkan permainan berintensiti tinggi, laju dan kepantasan berfikir dalam setiap minda pemainnya serta kekal berjuang sehingga wisel penamat.

Beliau berkata, skuad Malaysian Tigers akan beraksi seperti biasa dengan rentak dan taktikal yang dipraktikkan dalam latihan tanpa mahu terikut-ikut rentak pasukan lawan.

Artikel Berkaitan:

“Kita tak ambil peduli taktikal Korea Selatan, kita akan bermain dengan cara kita sendiri. Pergi tekan dan terus asak kubu pasukan lawan.

“Kita tidak mahu pemain setakat bagus kemahiran, tetapi lambat bergerak. Dalam pasukan ini mereka diajar kepantasan berfikir dan bertindak.

“Misalnya, jika pemain kehilangan bola, mereka tahu bagaimana nak respons. Mereka harus pantas bertindak untuk kawal semula permainan,” ujarnya.

Pada masa sama, Arul yakin anak-anak buahnya mampu menterjemahkan aksi final nanti dengan langkah dan rentak positif untuk bergelar juara.

“Dalam minda pemain cuma satu, meraih kemenangan. Strategi permainan yang kita rancang adalah untuk muncul sebagai pemenang,” jelasnya.

Buat para peminat hoki dan penyokong tempatan, Arul berharap mereka dapat membanjiri stadium untuk memberi sokongan padu kepada Malaysian Tigers.

“Sudah lama tidak terjadi stadium dipenuhi penyokong. Mereka menyalakan lampu. Harap mereka datang dan beri sokongan padu,” katanya.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan tersebut ialah muncul naib juara sebanyak lima kali iaitu pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!