PRU15: Cikgu Shan tekad bawa pembangunan menyeluruh di Aulong

Shanmugiavalloo
Shanmugiavalloo
A
A
A

TAIPING - Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Aulong, G Shanmugiavalloo tekad membawa pembangunan yang menyeluruh dan sama rata kepada penduduk di kawasan itu.

Bekas guru berusia 53 tahun itu berkata, tiga inti pati utama iaitu pendidikan, ekonomi dan pembangunan sosial menjadi fokus untuk dibawa ke kawasan itu sekiranya diberikan mandat.

Selaku calon tempatan, Shanmugiavalloo yang mesra disapa Cikgu Shan mahu mewujudkan sebuah pusat pengajian yang memberi peluang pendidikan kepada semua.

Beliau berkata, bersama kerajaan BN, lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan khusus untuk anak muda menerusi tarikan pelabur dan kerancakkan industri serta perkilangan.

Shanmugiavalloo (kiri) ketika bertemu pengundi di Pasar Malam Aulong.
Shanmugiavalloo (kiri) ketika bertemu pengundi di Pasar Malam Aulong.

Dari segi pembangunan sosial pula katanya, kemudahan infrastruktur seperti kemudahan lampu dan baik pulih jalan akan diberi perhatian terutama di kawasan pedalaman.

"Saya yakin tiga perkara ini perlu dititikberatkan sekiranya mahu meningkatkan taraf hidup komuniti di sini, malah sepanjang kempen diadakan, penduduk mengutarakan pandangan yang sama untuk kerajaan beri perhatian.

"Perkara ini tidak mustahil bersama kerajaan BN kerana rekod perkhidmatan selama lebih 60 tahun membuktikan kemampuan BN dalam membangunkan sesebuah kawasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha MIC Perak itu berkata, selama 15 tahun kerusi berkenaan diwakili parti lawan, masih banyak pembangunan dan kemajuan yang terbantut dan gagal dilaksanakan.

Menurutnya, meskipun pernah menjadi kerajaan negeri dan di Pusat, tetapi mereka masih gagal membawa perubahan besar kepada penduduk.

"Perkara ini perlu diperbetulkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini," katanya.

Pencalonan Cikgu Shan di kerusi Aulong juga telah memecah tradisi BN sebagai pemimpin India pertama bertanding di kerusi yang sebelum ini diwakili pemimpin kaum Cina.

Shanmugiavalloo menyantuni masyarakat Cina ketika berkempen sempena PRU15 ini.
Shanmugiavalloo menyantuni masyarakat Cina ketika berkempen sempena PRU15 ini.

Jelasnya, perkara itu bukan satu isu besar memandangkan masyarakat Malaysia kini hidup dalam suasana yang meraikan semua kaum dan bangsa.

"Daripada lebih 45,000 pengundi berdaftar di DUN Aulong, pengundi Cina mewakili 52 peratus, Melayu (29 peratus) dan India (19 peratus).

"Jadi sama ada wakil Melayu, Cina atau India bukan keutamaan, paling penting wakil rakyat itu mampu galas tanggungjawab kepada rakyat dengan baik.

"Saya mampu memenuhi kemahuan rakyat andainya diberi mandat pada PRU15 ini," katanya.

Pada PRU15 ini, DUN Aulong menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Shanmugiavalloo dengan Tek Kok Lim mewakili Pakatan Harapan (PH), Koay Boon Hui dari Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas iaitu Lee Seng Yap dan Abu Bakar Abi Rahman.

BN meletakkan calon daripada MCA dan Gerakan bagi mewakili parti itu sejak kawasan DUN Aulong diwujudkan dalam pilihan raya negeri Perak tahun 1995.

Bagaimanapun bermula PRU tahun 2008, kerusi Aulong dimenangi DAP dan pada PRU14, parti itu memperoleh majoriti besar 12,064 undi menerusi wakilnya, Nga Kor Ming yang juga merupakan Pengerusi DAP Perak.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!