Bah besar Hulu Langat, tragedi sukar dilupakan
HULU LANGAT - Bencana banjir di beberapa buah negeri termasuk Selangor pada Disember 2021 yang memusnahkan harta benda dan meragut nyawa mengejutkan banyak pihak.
Walaupun sudah hampir setahun berlalu, kebanyakan mangsa masih terkesan dan trauma dengan tragedi yang berlaku, lebih-lebih lagi apabila berlaku hujan lebat.
Hasil tinjauan Bernama ke Hulu Langat baru-baru ini penduduk menyuarakan kebimbangan kemungkinan banjir berlaku menjelang hujung tahun ini ditambah pula ramalan peralihan Monsun Timur Laut yang tiba lebih awal.
Bagi Serinomal Hanapi, 65, tanggal 18 Disember 2021 tidak mungkin luput daripada ingatannya kerana peristiwa hitam banjir besar yang melanda kawasan Hulu Langat termasuk kampung kediamannya, Batu 22 Kampung Sungai Lui.
Beliau yang mesra membahasakan dirinya "awok” memberitahu Bernama, pada hari kejadian, beliau dan rakannya melakukan kerja gotong-royong kenduri kahwin di sebuah rumah di kampung berkenaan.
Hujan sudah turun semasa mereka bergotong-royong dan rakannya tidak habis-habis menyoal mengapa hujan masih tidak berhenti.
Menurut Serinomal, hatinya memang tidak berasa sedap melihat hujan yang berterusan dan seakan dapat merasakan akan berlaku sesuatu yang ‘besar’ di kampung itu jika hujan berlarutan hingga ke malam.
Telahan Serinomal ternyata benar apabila menjelang malam itu, seluruh kawasan tempat beliau tinggal dilanda banjir besar yang kemudiannya dikaitkan dengan fenomena ‘kepala air’ yang turun daripada kawasan pergunungan sekitar kawasan berkenaan.
"Selepas selesai kerja kenduri kahwin, awok singgah untuk minum petang di sebuah kedai makan. Sudah pukul 4 petang dan hujan masih belum berhenti. Tunggu lagi sampai pukul 8.30 malam, buat keputusan, pergi ke motosikal dan nak balik juga walaupun masih hujan.
"Sebaik sampai di jalan ke rumah, baru sedar kawasan rumah sudah dinaiki air, boleh agak aras pinggang. Tak berani nak turun ke rumah, patah balik ke kedai makan tadi dan tunggu sehingga air surut,’’ katanya.
Hanya tinggal baju tergantung
Serinomal berkata, setelah jam menunjukkan pukul 1 pagi barulah beliau pulang ke rumah. ‘Rumah’ Serinomal, seorang duda ini, hanya berupa pondok papan tanpa bilik. Beliau yang tinggal bersendirian itu berkata, setibanya di rumah semua barang seperti perkakas dapur, tempat tidur rosak dibawa arus air.
"Rumah awok tak banyak barang, kecil sahaja, tetapi semua habis rosak akibat banjir... hanya baju yang awok sidai tergantung sahaja yang selamat. Yang itu sahaja selamat sebab tinggi, yang lain semua habis," katanya menambah air yang menaiki rumahnya mencecah paras leher, melihatkan kesan lumpur yang terdapat di dinding pondok itu
"Memang awok tidak tidur malam itu, lepas cuci rumah, awok duduk tunggu sehingga hari siang. Nak tidur pun lantai basah dan tak ada bantal atau tilam, " tambahnya yang mencari nafkah dengan menjual sayur.
Menurut laporan media, Batu 22 dan 23, Kampung Sungai Lui di Hulu Langat adalah antara lokasi yang terjejas teruk akibat banjir besar pada 18 Disember 2021.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilapor berkata, banjir yang berpunca daripada kepala air itu membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga sampai ke Batu 14, Sungai Lui dan kawasan sekitarnya.
Tragedi banjir selepas 50 tahun
Berkongsi seterusnya bencana banjir yang berlaku itu, seingat Serinomal, kejadian sama pernah berlaku pada tahun 1971 sewaktu beliau masih bersekolah dan berada di tingkatan dua.
Justeru, bencana banjir yang menimpa kampungnya itu berlaku setelah 50 tahun banjir besar ‘tidak bertandang’ di kampung itu.
"Awok ingat lagi, masa itu umur 14 tahun dan bersekolah lagi, banjir besar macam tahun lepas. Tapi awok tak nafikan yang kali kedua ini (2021) paling mengerikan dan dahsyat. Di Kampung Sungai Lui ini sahaja di kampung bawah lagi (Batu 19 dan Batu 18) ada yang rumah rosak, ada yang rumah pecah kena langgar air.
"Di Batu 20, ada dua buah rumah pecah, hancur habis dekat Kampung Jawa Batu 18 (rumah yang tular tinggal tangga) pun ada rumah yang habis dipukul banjir dan hanya tinggal tangga sahaja, bayangkan penangan banjir kali ini betapa kuatnya," katanya.
Ditanya sama ada beliau risau banjir akan berlaku lagi memandangkan hujan lebat yang mula melanda, warga emas itu berkata, beliau masih tidak berapa bimbang kerana tinggal bersendirian berbanding mereka yang mempunyai keluarga dan anak yang ramai dan kecil.
"Kasihan kepada yang ada anak kecil, kena lari selamatkan diri untuk selamatkan nyawa. Mereka pula duduk di tempat yang rendah," katanya.
Bimbang, tiada pilihan
Bagi Kartini Idris, 49, yang tinggal di Batu 23, Kampung Sungai Lui, meskipun sudah hampir setahun bencana banjir di kampungnya berlaku, hatinya sentiasa gelisah terutama bila hujan lebat.
"Risau, takut dan trauma usah dicakap, sampai hari ini saya rasa berdebar-debar. Bila hujan turun mulalah hati rasa tidak sedap hati, apa lagi bila hujan turun agak lama.
"Sebelum ini, saya tak pernah kisah sangat sebab tidak pernah mengalami banjir seperti yang berlaku pada 18 Disember 2021. Bila dah jadi, serba serbi rasa tak kena," katanya yang bersama suaminya berniaga menjual pisang goreng, cendol, air batu campur dan ais kacang.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, ketika ini beliau senantiasa berjaga-jaga dan selalu peka dengan amaran cuaca yang dimaklumkan, dari semasa ke semasa oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
Saat ditemu bual, jelas terpancar di raut wajah wanita itu perasaan resah dan bimbang seandainya banjir besar menimpa lagi. Bagi wanita itu hanya rumah itu sahaja tempat berteduh bersama suami dan dua anaknya, masing-masing berumur 18 tahun dan 16 tahun.
"Apa kami boleh buat jika banjir datang lagi, ini sahaja rumah yang ada, rumah pula bukan yang bertingkat, ke mana lagi hendak pindah. Apa yang saya boleh buat hanyalah memindahkan lebih awal dokumen penting. Saya simpan siap-siap dokumen penting ini," katanya.
Ketika menemu ramah Kartini di gerainya yang terletak berhadapan rumah beliau pada petang itu, hujan sudah mulai turun sehingga kami berdua basah.
Kartini kemudiannya mempelawa penulis ke rumahnya dan dapat melihat sendiri kesan tanda paras air di dinding rumahnya yang masih ada, ketika banjir berlaku.
Bergegas pulang dari Kedah
Mengenang kembali episod banjir berkenaan, Kartini berkata, semasa kejadian, beliau, suami serta seorang anak mereka mengikuti rombongan menghantar pengantin ke Kedah.
"Setiba di Kedah, jiran di kampung menelefon saya dan memberitahu bahawa kawasan rumah saya dinaiki air sehingga paras pinggang, rumah saya turut terlibat. Saya dan suami kemudiannya bergegas pulang semula ke Hulu Langat," katanya.
Menurut Kartini, ketika banjir berlaku, hanya anak sulung mereka ada di rumah dan tidak sempat menyelamatkan barang kerana menyangkakan hujan yang turun hanya hujan biasa dan rumah tidak akan dinaiki air.
"Sejurus tahu kami terus mengemas barang dan pulang semula ke Hulu Langat pada malam Sabtu itu. Tambahan pula ibu mentua saya juga tinggal berdekatan rumah saya dan seorang diri.
"Namun apabila sampai di Hulu Langat kami tidak dapat pulang ke rumah kerana paras air banjir terlalu tinggi. Hanya pada keesokan harinya (Ahad 19 Disember), saya dan suami dapat balik ke rumah.
"Sebaik sudah boleh masuk ke rumah, kami dapati rumah penuh dengan lumpur, tong gas tumbang, sofa habis berlumpur, mesin jahit, komputer riba turut rosak. Sebelum banjir, anak sulung buat kerja guna komputer riba, dan kemudian biarkan atas lantai. Habislah rosak, ” kongsi Kartini dan menambah, rumah ibu mentuanya tidak terjejas teruk kerana lokasinya di tempat tinggi dan air yang masuk ke dalam rumah setakat buku lali sahaja berbanding rumahnya, paras air hingga ke lutut.
Kesan mental, kewangan
Turut diuji pada tanggal 18 Disember 2021 itu ialah Ahmad Erwan Othman, 35, yang sama sekali tidak menyangka kediaman yang dibeli dan diduduki sejak 2019 di Taman Casa Lagenda di Hulu Langat itu akan terkesan akibat banjir besar.
Tidak mahu pisang berbuah dua kali, beliau sudah membuat persiapan awal dengan membeli "power bank" yang memiliki kapasiti 80000 mAh, kipas yang boleh menggunakan bateri serta sudah memindahkan barangan penting seperti katil, perabot ringan serta makanan di bahagian tingkat atas rumahnya.
Menyifatkan tragedi banjir besar yang melanda Hulu Langat serta Lembah Klang umpama sebuah kisah yang sukar dilupakan, beliau mengakui bahawa rasa takut dan berjaga-jaga sentiasa ada.
"Takut memang sangat takut, macam orang kena keresahan melampau pun ada, tambahan pula bila dengar banyak laporan media mengenai banjir selain kenyataan dikeluarkan MetMalaysia berhubung cuaca dan banjir.
"Walaupun tempat tinggal saya tidak pernah berlaku banjir kerana terletak agak tinggi, tetapi bila sekali dah kena banjir memang kita anggap tempat ini adalah kawasan banjir," katanya yang baru menimang cahaya mata ketiga pada September lepas.
Menurut Erwan, ketika berlaku banjir, hanya beliau di rumah kerana kurang sihat selepas mengambil suntikan booster Covid-19. Isteri dan anak-anaknya ke KLCC membawa saudaranya bersiar-siar.
Dalam kejadian bah 18 Disember 2021 itu, Ahmad Erwan, seorang pengamal media berkata, hampir kesemua barangan dalam rumahnya rosak selain kereta dan motosikalnya turut tenggelam.
Beliau terpaksa membuat pinjaman bank untuk membiayai kos membaiki kereta, motosikal dan barang rumah, melibatkan sekitar RM30,000.
Di sebalik pengalaman pahit banjir besar itu, Erwan berkata beliau belum bercadang untuk berpindah daripada rumah dua teres dua tingkat yang dibeli dengan harga RM489,000 itu.
Berharap agar pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab sewajarnya bagi membantu mengawal situasi banjir, beliau berkata, ia bukan sahaja membahayakan nyawa bahkan membuatkan ramai insan terkesan daripada sudut kewangan dan mental. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!