Rancang naik taraf perkhidmatan Balai Polis Simpang
TAIPING - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping merancang menaik taraf kemudahan dan menambah keanggotaan Balai Polis Simpang, di sini bagi memenuhi keperluan penduduk kawasan itu semakin ramai dengan kawasan seliaan semakin luas.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, satu kertas kerja cadangan penambahbaikan keperluan Balai Polis Simpang sudah disiapkan dan akan dihantar ke pihak pengurusan tertinggi polis untuk dipertimbangkan.
Menurutnya, antara cadangan dikemukakan adalah menambah bilangan anggota polis di balai itu susulan berlaku pertambahan penduduk ketara sejak beberapa tahun ini selain menambah bilangan pegawai berpangkat tinggi.
"Inisiatif ini penting bagi memastikan fungsi polis untuk membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman penduduk di samping mencegah segala bentuk jenayah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Masalah kekurangan anggota polis bukan sahaja dihadapi IPD Taiping, bahkan semua IPD di seluruh negara.
"Justeru saya berharap semua dapat bersabar kerana satu kertas kerja menaik taraf perkhidmatan Balai Polis Simpang sudah dihantar ke pihak atasan untuk pertimbangan," katanya kepada media pada program Hari Bertemu Pelanggan IPD Taiping di Jalan Kampung Dew Barat, Simpang di sini hari ini.
Sementara itu, Osman menegaskan IPD Taiping mengalu-alukan jemputan mana-mana persatuan penduduk memerlukan khidmat anggota polis bagi membuat rondaan keselamatan di kawasan kediaman dan kampung mereka secara bersama.
Menurutnya, polis sentiasa komited membantu sebarang usaha mempertingkatkan kualiti keselamatan kawasan kediaman penduduk dan kerjasama mana-mana persatuan atau pertubuhan penduduk amat penting ke arah tujuan itu.
"Justeru, saya menyeru lebih banyak pertubuhan atau persatuan penduduk diaktifkan di seluruh daerah Taiping dengan lebih ramai individu menjadi sukarelawan mengadakan rondaan keselamatan dibantu polis.
"Melalui kerjasama dua hala jitu, polis yakin fokus membantu mencegah sebarang bentuk aktiviti jenayah di kawasan kampung atau taman perumahan masing-masing dapat dibanteras sepenuhnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!