LRT tergendala, wanita jadi mangsa samun

Ciapan Twitter Nur Sophia.
Ciapan Twitter Nur Sophia.
A
A
A

SHAH ALAM - Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah situasi tepat yang boleh menggambarkan nasib dialami seorang wanita dikenali Nur Sophia Jesmine Hasmin, 25.

Memetik laporan Astro Awani, Nur Sophia bukan sahaja terpaksa menggunakan laluan alternatif susulan gangguan Transit Aliran Ringan (LRT) tetapi juga turut berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa samun bersenjatakan pisau.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, ketika menunggu bapanya di persimpangan antara Stesen LRT Sri Rampai dan sebuah kondominium, Nur Sophia didekati oleh dua lelaki yang menunggang motosikal.

Nur Sophia mendakwa, salah seorang lelaki tersebut menyamun beg yang mengandungi sebuah komputer riba dan telefon pintar.

“Pada awalnya, saya enggan melepaskan beg saya. Namun, selepas lelaki tersebut bertindak mengoyakkan beg menggunakan pisau, saya melepaskan beg tersebut sebelum mereka melarikan diri,” kata Nur Sophia ketika dihubungi Astro Awani di sini, pada Khamis.

Menceritakan lebih lanjut, wanita malang itu berkata, dia sepatutnya membuat perjalanan ke pejabat melalui laluan Kelana Jaya dari Stesen LRT Sri Rampai ke Stesen LRT USJ 7 pada pagi Rabu.

Namun, selepas diberitahu oleh seorang pegawai polis bantuan di stesen berkenaan bahawa perjalanannya terjejas, Nur Sophia meminta bantuan bapanya untuk menjemput dan menghantarnya ke pejabat menaiki kereta.

Susulan insiden itu, Nur Sophia membuat laporan di Balai Polis Setiawangsa dan dimaklumkan bahawa pihak polis akan menyiasat insiden berkenaan serta menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Prasarana Berhad memaklumkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya di 16 stesen dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung selama tujuh hari berikutan masalah teknikal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!