LRT tergendala: Rakyat tawar bantuan tumpang kenderaan

LRT Kelana Jaya. Antara komen pengguna Twitter pada Rabu
LRT Kelana Jaya. Antara komen pengguna Twitter pada Rabu
A
A
A

SHAH ALAM - Ramai pengguna media sosial mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan tumpang kenderaan kepada mereka yang berdepan dengan kesukaran untuk pergi bekerja susulan perkhidmatan LRT Kelana Jaya tidak dapat beroperasi di 16 stesen sehingga 15 November ini.

Tinjauan menerusi ciapan Twitter pada Rabu mendapati tawaran tersebut yang disertakan dengan tanda pagar #LRTDOWN itu turut menyatakan maklumat seperti waktu, lokasi yang dikunjungi dan kekosongan yang boleh dinaiki oleh penumpang.

Salah seorang pengguna Twitter bernama Sarah Skywalker berkata, mereka yang sukar mendapatkan perkhidmatan bas atau e-hailing pada waktu pagi, boleh hubunginya menerusi ciapan berkenaan.

“Sekiranya sesiapa memerlukan perjalanan dari stesen Gombak ke KLCC untuk perjalanan sehala, pagi. Sepanjang minggu dari rumah, sila beritahu saya.

“Ia akan menjadi perjalanan awal, tetapi jika ada yang tidak dapat mendapatkan bas atau kereta e-hailing, DM (mesej terus) saya,” katanya dalam ciapan di Twitter pada Rabu.

Sementara itu, pengguna Twitter bernama Intan dan Lana turut menawarkan perkhidmatan tumpangan yang sama, namun lebih memberi keutamaan kepada penumpang wanita.

“Hari ini, saya akan keluar dari stesen LRT Glenmarie ke Setiawangsa. Saya akan keluar ofis jam 6.30 petang.

“Kalau ada yang perlu tumpangan boleh DM saya, keutamaan hanya untuk wanita.

Artikel Berkaitan:

“Jika tidak ada orang dan ada banyak permintaan dari KL Sentral ke Setiawangsa, saya akan ambil di KL Sentral,” ujarnya.

Selain itu, pengguna Twitter bernama Fallenangle berkata, dia boleh memberi tumpangan di kawasan berdekatan memandangkan dia dalam perjalanan ke Lembah Keramat.

“Saya menuju ke Lembah Keramat dari pasar raya nanti. Boleh turunkan sesiapa di stesen LRT, RapidKL atau kawasan sekitar,” menurutnya.

Pada masa yang sama, pengguna-pengguna Twitter lain seperti Ammar Azman dan zulvvd juga tidak ketinggalan menawarkan tumpangan bagi mereka yang memerlukan.

“5.30 pm NU Sentral ke Shah Alam. Kosong untuk tiga atau empat orang.

“Ada yang nak tumpang? Dari D’Aman Crimson sebelah LRT Lembah Subang ke Amcorp Mall. Setiap hari jam 8 pagi dan pulang pada jam 5.40 petang,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna Twitter bernama Zaffy pula menggunakan ciapan untuk memohon tumpangan ke LRT Damai selepas waktu bekerja.

“Boleh saya minta tumpang sesiapa untuk hantar saya ke LRT Damai selepas bekerja pada hari ini?," soalnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!