PRU15: PN tumpu kebajikan rakyat Hulu Terengganu
KUALA TERENGGANU - Fokus Perikatan Nasional (PN) di Hulu Terengganu melibatkan tiga perkara iaitu kebajikan, pendidikan dan pembangunan.
Calon PN Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, fokus utamanya lebih kepada kebajikan rakyat.
"Fokus kebajikan ini saya akan melihat rumah-rumah yang belum ada bekalan elektrik, masalah banjir kilat, perumahan dan sebagainya.
"Kedua, pendidikan. Kita tahu pendidikan perkara penting untuk tingkatkan taraf hidup. Maka saya dari dulu lagi tekankan kepada pendidikan," katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Khamis.
Rosol tidak mahu mendengar anak-anak di Hulu Terengganu tercicir dalam pelajaran kerana masalah kemiskinan.
"Kita akan bantu sedaya mungkin untuk pastikan setiap mereka yang layak belajar, teruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Tambah beliau lagi, soal pembangunan juga menjadi keutamaannya yang akan dibawa di Parlimen jika diberi mandat kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November nanti.
Rosol yang juga Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu akan bertanding menggunakan logo Pas pada PRU15 menentang tiga lagi calon parti lain di kerusi Parlimen Hulu Terengganu iaitu Datuk Rozi Mamat dari BN, Alias Ismail, Pakatan Harapan (PH) dan Mohd Khadri Abdullah dari Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!