769 bakal terima darjah kebesaran Sultan Kelantan
KOTA BHARU - Seramai 769 individu bakal menerima pengurniaan darjah kebesaran dan pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-53 tahun ini.
Istiadat akan berlangsung di Istana Balai Besar Kota Bharu di sini pada jam 9 pagi Sabtu ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad berkata, menjunjung titah perintah dan limpah kurnia Sultan Muhammad V turut akan melantik dua individu menjadi Jaksa Pendamai sempena perayaan ulang tahun pada 2022 ini.
“Baginda perkenan mengurniakan Gelaran kepada lapan orang dan 356 orang bagi Darjah Kebesaran.
“Turut akan menerima Bintang-bintang seramai 240 orang dan pingat-pingat berjumlah 165 orang,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Penglola Istana D'Raja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dan Ketua Istiadat Kelantan, Mejar Jeneral (B) Datuk Mamat Ariffin Abdullah.
Beliau berkata, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat negeri Kelantan tersebut akan diadakan dua sesi.
“Sesi pertama melibatkan 114 penerima pada Sabtu ini.
“Manakala sesi kedua pula akan diadakan pada satu tarikh yang diperkenankan oleh Sultan Muhammad V dan akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Perayaan menyambut Hari Keputeraan Sultan Kelantan dirangka meliputi istiadat dan susunan seperti Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat di Masjid Muhammadi Kota Bharu dan semua masjid-masjid daerah pada Khamis.
Turut diadakan Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormat di Padang Merdeka, Kota Bharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!