PN mampu realisasi tawaran PRU15
Pengundi yakin 12 tunjang yang dilancarkan menerusi manifesto realistik
SHAH ALAM - Tawaran manifesto yang dilancarkan Perikatan Nasional (PN) bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ atau PN Best pada Ahad lalu, disambut baik pengundi tempatan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 12 tunjang yang ditawarkan parti gabungan itu sekiranya mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus merupakan antara tunjang yang diberi keutamaan selain menyediakan 30 pendekatan dan 234 tawaran.
Rata-rata mereka yang mengikuti majlis pelancaran sempena Tawaran PRU15 PN itu menyifatkan senarai berkenaan bukanlah janji kosong, malah mampu direalisasikan.
Seorang penduduk, Imran Ishak percaya dengan kemampuan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang begitu bersungguh memberi lebih 500,000 peluang pekerjaan kepada rakyat ketika pentadbiran beliau sebelum ini.
“Jika kita perasan, kadar pengangguran sejak Januari hingga September tahun ini menunjukkan penurunan dan itulah antara jasa beliau dalam memulihkan kembali ekonomi negara,” katanya.
“Saya lihat tawaran menyewa rumah yang diumumkan memang berbaloi dan bukti PN prihatin kepada keperluan anak muda. Lagi satu, diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) sebanyak 25 peratus pun bagus,” katanya.
“Sudah tentunya saya suka jika semua janji-janji itu dapat direalisasikan dan ia memberi manfaat kepada golongan B40 seperti saya untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
12 TUNJANG TAWARAN PNBEST:
Tunjang 1: Membina ekonomi masa hadapan.
Tunjang 2: Meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat.
Tunjang 3: Membersihkan politik dan tadbir urus.
Tunjang 4: Mensejahterakan bumiputera, orang asli dan semua kaum.
Tunjang 5: Merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Tunjang 6: Melestarikan alam sekitar dan merakcakkan pelancongan.
Tunjang 7: Memperkasa belia dan mensejahterakan keluarga muda.
Tunjang 8: Mengoptimumkan potensi wanita.
Tunjang 9: Membina warga emas yang sejahtera.
Tunjang 10: Memperkasa orang kelainan upaya (OKU).
Tunjang 11: Memperkasa generasi Felda.
Tunjang 12: Mentransformasikan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil.
REAKSI PENGUNDI & CALON
ADVERTORIAL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!