Lipas berkeliaran, 5 restoran di Shah Alam diarah tutup
SHAH ALAM - Beberapa premis di sini dikesan bukan sahaja kotor pada tempat penyediaan makanan malah terdapat lipas berkeliaran pada perkakas dapur dan tempat simpanan bahan mentah.
Perkara itu dikesan penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam Operasi Pemeriksaan Kebersihan Premis Makanan di beberapa premis makanan di Seksyen 13 di sini, hari ini.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, lima daripada lapan premis yang diperiksa diarah tutup selepas tahap kebersihan didapati kurang memuaskan.
“Hasil pemeriksaan pemilik premis makanan didapati masih mengabaikan kebersihan di premis masing-masing khususnya dari aspek penyediaan dan penyimpanan makanan
“Mereka juga didapati guna peralatan kurang bersih, gagal pastikan kebersihan tandas malah pekerja tidak mempunyai suntikan TY2 (anti-typhoid),” katanya.
Menurutnya, tindakan penutupan premis dilakukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
"Operasi itu melibatkan Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam dan Jabatan Bangunan MBSA.
"Ia dijalankan secara berkala pada setiap bulan bagi memastikan premis makanan di Shah Alam sentiasa bersih dan mematuhi syarat ditetapkan," katanya.
Shahrin berkata, sehingga semalam sebanyak 31 daripada 68 premis diperiksa diarah tutup dan 127 kompaun turut dikeluarkan kepada premis makanan terlibat.
"Notis dan kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian, Undang-Undang Kecil Establishmen Makanan dan Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan MBSA 2007," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!