PH bawa agenda pembangunan untuk rakyat

A
A
A

Nie Ching beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Kulai.
Nie Ching beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Kulai.

Tiga calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Kulai, Iskandar Puteri, Mersing berjanji untuk membawa perubahan dan meningkatkan aspek pembangunan sosio ekonomi di kawasan ditandingi mereka.

Teo Nei Ching dari DAP bakal mempertahankan kerusi Parlimen Kulai, manakala Liew Chin Tong akan cuba mengekalkan kuasa di Parlimen Iskandar Puteri yang ditinggalkan oleh veteran DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu, PH mempertaruhkan calon orang muda iaitu Fatin Zulaikha Zaidi dari MUDA di kerusi Parlimen Mersing bagi memecah dominasi BN di kawasan berkenaan.

Nie Ching tekad mahu pertahankan kerusi Kulai

Setelah dua penggal mempertahankan kerusi P.163 Kulai, Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching (PH-DAP) mahu terus mempertahankannya dalam usaha meneruskan pelbagai projek pembangunan yang masih belum dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, menurut Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu lagi, orang ramai diharap untuk keluar beramai-beramai bagi menunaikan tanggungjawab selaku pengundi pada PRU15.

Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Shahrizal Ahmad Zaini bersama Nie Ching berhubung harapan serta perancangannya di kawasan Kulai pada masa akan datang.

Setelah dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Kulai, pada PRU kali ini, apakah jangkaan anda?

NIE CHING: Setelah dicalonkan untuk mempertahankan kerusi P163, Kulai pada PRU15, saya nekad untuk menjadikan Kulai sebagai sebuah daerah yang terus membangun di Johor. Ini kerana, terdapat pelbagai projek pembangunan dan ia sekali gus telah membantu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang tinggi kerana ramai pemain industri berada di Senai. Jika kesemua usaha ini berjalan lancar, tidak mustahil untuk Kulai muncul sebagai salah satu nadi ekonomi yang strategik di Johor.

PRU15 menyaksikan saingan tiga penjuru antara anda dan calon muda BN-MCA, Chua Jian Boon (BN-MCA) dan calon berpengalaman, Datuk Tan Chin Hock (PN-Gerakan). Apa reaksi anda?

NIE CHING: Bagi saya cabaran tetap ada dan kali ini saya bakal berdepan dengan seorang calon muda selain seorang calon yang berpengalaman.

Namun bagi saya, walau siapa juga calon yang bertanding pada PRU kali ini, saya tetap percaya kepada gerak kerja daripada ‘team’ saya. Ini kerana, susunan gerak kerja yang baik daripada mereka (team), membuatkan saya yakin mampu mengatasi setiap cabaran. Lagi pun, kami lebih memberikan fokus kepada kepentingan rakyat.

Nie Ching beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Kulai.
Nie Ching beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Kulai.

Apakah pendekatan atau strategi berkempen yang akan anda lakukan pada PRU kali ini?

NIE CHING: Seperti yang saya pernah kata sebelum ini, kita mahukan lebih ramai pengundi yang keluar mengundi kali ini terutamanya dalam kalangan pengundi muda. Antara strategi yang akan digunakan adalah menerusi platform media sosial.

Dalam masa sama, kita juga akan cuba mengelakkan program-program yang ‘mewah’ dan sebaliknya, lebih fokus kepada program ramah mesra dengan pengundi-pengundi di sekitar Kulai.

Berdasarkan pemerhatian anda, setelah tiga penggal berada di kerusi Parlimen Kulai ini, apa sebenarnya yang dimahukan pengundi di sini dan peranan anda untuk merealisasikannya.

NIE CHING: Sejak 2020 lalu, projek selekoh S yang berada di bawah peruntukan kerajaan negeri telah tergendala dan kita mohon supaya projek ini disegerakan. Ia seolah-olah sudah menjadi ‘projek sakit’ sejak dua tahun lalu sehinggalah tender dibuka semula pada tahun ini. Selain itu,kita juga mahu agar pihak konsesi terlibat, dapat menyelia dan menyelenggara serta menambah baik jalan raya di beberapa kawasan di Kulai.

Kita juga sebenarnya ada banyak program melibatkan sektor pendidikan di Kulai. Oleh itu, dengan peruntukan yang disediakan, kita sedia bekerjasama dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO) di Kulai berhubung sektor pendidikan ini.

Nie Ching beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Kulai.
Nie Ching beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Kulai.

Apa harapan anda kepada pengundi di Kulai pada PRU15?

NIE CHING: Seperti yang saya katakan tadi, saya berharap dengan kesungguhan dan usaha team saya di Kulai selama ini akan meyakinkan pengundi-pengundi Kulai untuk keluar mengundi kali ini. Kita mahu lebih ramai keluar mengundi kali ini kerana kalau kita lihat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, ramai yang tidak dapat mengundi seperti mereka yang bekerja di Singapura yang tidak dapat balik dan sebagainya.

tetapi kini pintu sempadan pun sudah di buka dan tidak ada masalah lagi untuk mereka (pengundi), keluar beramai-ramai kerana ia selari dengan motto kita, ‘Harapan Kulai Menuju Putrajaya’.

PRU15 kali ini dikatakan agak mencabar kerana diancam kemungkinan banjir selain masalah peningkatan Covid-19. Apa tindakan anda bagi memastikan keselamatan pengundi terutamanya pada hari mengundi nanti?

Nie Ching sentiasa mendengar suara golongan muda.
Nie Ching sentiasa mendengar suara golongan muda.

NIE CHING: Bagi saya, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sepatutnya mengadakan prosedur operasi standard (SOP) tersendiri bagi mengatasi masalah-masalah seperti ini. Kita juga memang tidak mahu perkara-perkara (banjir, Covid-19) ini berlaku...tetapi sekiranya terjadi juga, kita sedia bekerjasama dengan agensi-agensi terlibat bagi memastikan keselamatan pengundi. Saya juga berpesan kepada semua pengundi supaya sentiasa jaga SOP dan pakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga.

Tanggungjawab besar pertahankan Iskandar Puteri

Chin Tong beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Iskandar Puteri.
Chin Tong beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Iskandar Puteri.

Setelah penyandang kerusi yang juga veteran DAP, Lim Kit Siang mengumumkan tidak bertanding pada PRU15, misi mempertahankan P.162, Iskandar Puteri kini menjadi tanggungjawab besar yang perlu digalas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Menurut Chin Tong yang juga ADUN Perling, kemenangan di Iskandar Puteri dilihat bakal memberikan impak besar sama ada di negeri ini mahu pun di peringkat parlimen kelak.

Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Shahrizal Ahmad Zaini bersama Chin Tong berhubung perancangannya terhadap kawasan parlimen berkenaan.

Bagaimana YB melihat pencalonan anda di Iskandar Puteri pada PRU15?

CHIN TONG: Bagi saya, pencalonan ini merupakan satu tanggungjawab besar buat saya. Apatah lagi Iskandar Puteri merupakan kawasan yang strategik bagi zon Johor selatan. Sebagai kawasan strategik, sudah tentu ia mampu memberikan impak yang besar kerana Johor adalah negeri yang sangat penting hingga mampu mempengaruhi ‘siapa’ yang dapat ‘majoriti’ di peringkat Pusat.

Pada 2008 lalu (PRU12), pembangkang hanya menang satu kerusi, iaitu di Bakri daripada 26 kerusi keseluruhannya dan pada 2013 (PRU13), Pakatan Rakyat (PR) ketika itu memenangi lima kerusi. Namun, pada 2018 (PRU14), PH menang 18 kerusi daripada 26 kerusi di Johor manakala 98 kerusi di peringkat Pusat. Itu sebabnya, saya melihat kemenangan Johor mampu menjadi penentu PRU15, terutamanya di peringkat Pusat.

Chin Tong perlu teruskan legasi Kit Siang dan DAP di kawasan parlimen Iskandar Puteri.
Chin Tong perlu teruskan legasi Kit Siang dan DAP di kawasan parlimen Iskandar Puteri.

Apakah jangkaan YB terhadap pilihan raya kali ini?

CHIN TONG: Selaku Pengerusi DAP dan juga Timbalan Pengerusi PH Johor, saya menjangkakan PH boleh memenangi sekurang-kurangnya 15 kerusi parlimen di Johor, kalau boleh ulangi kemenangan 18 kerusi pada PRU13 lalu atau ada tambahan kali ini, lebih baik. Selain itu kita perlu tahu tujuan PRU diadakan, bukan untuk pilih ahli parlimen tetapi adalah untuk memilih (membentuk) kerajaan. Jika dahulu hanya ada dua, kerajaan dan pembangkang, kini sudah jadi tiga, kerajaan, pembangkang dan Perikatan Nasional (PN). Semuanya pernah menjadi kerajaan dan bertanding untuk tubuhkan kerajaan kali ini.

Pada PRU15, selain Tan Nam Cha (PN), YB juga akan berdepan Datuk Jason Teoh Sew Hock (BN), yang juga merupakan ‘anak tempatan’ kerana berasal dari Gelang Patah. Bagaimana YB melihat perkara ini?

CHIN TONG: Bagi saya, isu orang tempatan ini tak wujud. Ia bukan isu pun dan sengaja ditimbulkan. Kita bertanding di tempat lain untuk menjadi teraju kepada gerakan gelombang ini. Pada 2008 lalu (PRU12), saya bertanding ini Pulau Pinang yang ketika itu merupakan kubu kuat BN dan ramai yang ramalkan kekalahan saya. Tetapi, bukan saya sahaja yang menang tetapi Pakatan Rakyat (dikenali PR) ketika itu,turut menang di Pulau Pinang. Pasukan bola sepak pun kalau semua orang kampung (tempatan) dan tak boleh pinjam pemain luar, pasti tak menarik. Kita sebenarnya nak pasukan paling kuat untuk lawan BN pada PRU15 dalam usaha memastikan kemenangan.

Chin Tong yakin Pakatan Harapan akan menang di Parlimen Iskandar Puteri.
Chin Tong yakin Pakatan Harapan akan menang di Parlimen Iskandar Puteri.

Jika menang PRU15 nanti, apa perancangan YB untuk Iskandar Puteri?

CHIN TONG: Sebenarnya ada tiga isu di Iskandar Puteri ini, pertama transformasi pekerjaan kerana ramai yang bekerja di Singapura kerana gaji lebih tinggi dan perbezaan itu besar. Oleh itu, ekonomi di negerai ini tak boleh sepanjang masa bergantung pada buruh semata-mata tanpa kemahiran. Dalam masa sama kita perlu berubah kepada ekonomi berasaskan kemahiran selain memberikan pulangan gaji yang berpatutaN. daripada berikan upah kepada 10 warga asing tanpa kemahiran untuk satu tugasan, mungkin kita boleh kurangkan dengan hanya seorang pekerja warganegara Malaysia yang berkemahiran dan bayar gaji setimpal.

Yang kedua, isu pengangkutan awam, terutamanya di Johor Bahru tidak ada pengangkutan awam yang sesuai, hingga rakyat terpaksa guna kenderaan sendiri dan perkara ini tidak diberikan tumpuan dan ketiga isu pengurusan bandar dan perancangan bandar. Sebagai contoh, jalan-jalan persekutuan ada yang rosak dan bila kita bincang isu ini, pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) menjelaskan mereka tak ada bajet selain itu Kerajaan Pusat tak prihatin. Selain itu, isu banjir semakin teruk di Johor dan saya pernah cadangkan supaya perancangan bandar mampan dijalankan dan jawatankuasa penebatan banjir daripada agensi-agensi kerajaan ditubuhkan bagi menyelaraskan usaha menangani banjir.

Chin Tong bergambar dengan pengundi di Parlimen Iskandar Puteri.
Chin Tong bergambar dengan pengundi di Parlimen Iskandar Puteri.

Apa strategi yang YB akan gunakan pada PRU15?

CHIN TONG: Soal strategi ni, kalau boleh saya tak nak sebutlah. Tetapi bagi saya elemen penting dalam mana-mana pilihan raya adalah komunikasi dengan orang bukan politik. Mereka ini ada macam-macam cerita berbanding dengan orang-orang politik. Apa pun, mereka ini mendapat inspirasi ketika mereka bersua sesama sendiri bagi memenangkan parti mereka. Hasil komunikasi dengan mereka ini nanti, mungkin kita akan dapat hasil yang lebih baik.

Secara keseluruhannya, apakah harapan anda kepada pengundi di Iskandar Puteri PRU15 nanti.

CHIN TONG: Harapan saya adalah kesemua pengundi di Iskandar Puteri dapat keluar beramai-ramai pada 19 November nanti dengan menuju ke pusat pembuangan undi untuk mengundi. Selain itu saya juga berharap agar lebih ramai dapat keluar mengundi kali ini. PRU sebenarnya adalah penentu bagi hala tuju negara. Bukan untuk setahun sahaja. Ia (PRU) juga akan menentukan apakah kita akan terus maju ke hadapan atau sebaliknya.

Fatin sedia berdepan cabaran orang lebih berpengalaman

Calon muda PH di Mersing ada strategi sendiri untuk tarik sokongan pengundi
Calon muda PH di Mersing ada strategi sendiri untuk tarik sokongan pengundi



Biarpun masih baharu dalam dunia politik, namun calon P.154 Mersing, Fatin Zulaikha Zaidi (PH-DAP), tetap berazam untuk memberikan yang terbaik dalam usaha memenangi kerusi parlimen berkenaan pada PRU15.

Menurut wanita berusia 29 tahun, dia juga yakin untuk berdepan saingan lima penjuru di Mersing kali ini, biarpun lawan yang ditentangnya merupakan individu yang lebih berpengalaman.

Ikuti temubual bersama wartawan Sinar Harian, Shahrizal Ahmad Zaini bersama Fatin Zulaikha terutamanya yang menyentuh mengenai perancangannya di Mersing kelak.

Setelah dicalonkan untuk bertanding di P.154 Mersing yang merupakan kubu kuat BN, bagaimana perasaan anda?

FATIN: Pertamanya, saya ucapkan terima kasih kepada pimpinan parti kerana mencalonkan saya di sini (Mersing). Ya, semua orang tahu, Mersing merupakan kubu kuat BN, namun saya tetap menerimanya dan melihat itu sebagai satu peluang untuk saya membantu meluaskan (pengaruh) Pakatan Harapan (PH) di Johor. Memang agak mencabar terutamanya apabila dilihat daripada pengalaman yang dimiliki calon-calon lain. Apa pun, walaupun saya kurang dari segi pengalaman berpolitik, tetapi saya juga tidak ada pengalaman rasuah.

Apa persediaan yang anda lakukan bagi mengharungi PRU15?

FATIN: Dari segi persiapan, saya memberikan fokus kepada persediaan mental dan fizikal kerana banyak idea yang perlu dibentangkan kepada pengundi terutamanya anak muda agar mereka lebih berkeyakinan untuk memilih PH pada PRU15. Apa pun, berdasarkan maklum balas hasil program-program yang dianjurkan, kita dapati sokongan terhadap PH sebenarnya ‘ada’ di Mersing dan sokongan itu perlu terus disuburkan untuk kita mencapai kemenangan nanti.

Fatin beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Mersing.
Fatin beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Mersing.

Apa perancangan anda bagi menarik sokongan masyarakat di Mersing kepada PH?

FATIN: Selain jentera yang kuat kita juga perlu bentangkan idea-idea baharu. Saya orang muda dan saya mahu membawa sekali harapan serta aspirasi anak muda pada PRU kali ini. Saya mahu orang muda ini sentiasa ke depan dengan idea-idea baharu berbanding idea-idea daripada calon yang berusia yang kebiasaannya idea itu tidak ke depan. Namun bagi saya, tidak cukup dengan hanya sokongan setakat ini sahaja kerana sokongan itu perlu diterjemahkan pada kertas undi 19 November nanti.

Apakah antara masalah utama yang dapat anda kenal pasti di Mersing dan cadangan untuk menanganinya?

FATIN: Bagi saya, di Mersing ini antara masalah utamanya adalah dari segi infrastruktur jalan raya, melibatkan jalan persekutuan dan juga jalan perhubungan. Kedua-dua isu ini memang menjadi bualan kerana masalah ini akan memberikan banyak kesan di masa hadapan.

Masalah jalan perhubungan ini contohnya, ia terlalu jauh daripada kawasan penduduk dan ia memberikan kesan kepada beberapa perkara. Antaranya dari segi makanan dan perubatan. Biasanya untuk perjalanan jauh, ia akan berikan kesan kepada peningkatan kos penghantaran bagi makanan.

Fatin beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Mersing.
Fatin beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Mersing.

Begitu juga dari segi kesihatan, ketiadaan fasiliti kesihatan juga merupakan satu masalah besar. Tambahan pula melibatkan kes-kes yang perlu dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HAS). ini kerana orang sakit biasanya akan rasa tak selesa, bila kita nak bawa keluar pun akan ambil masa yang lama dan ia pasti memberikan mudarat kepada pesakit. Ini antara fokus kita nanti.

Selain itu kita juga berazam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan di Mersing kerana semasa program walkabout di Jemaluang, saya lihat banyak kedai yang sudah tidak beroperasi dan perkara ini kita mahu atasi bagi mengaktifkan semula aktiviti perniagaan di situ.

Susulan PRU15 yang dikatakan berlangsung dalam suasana banjir selain peningkatan kes Covid-19 ketika ini, apa jaminan keselamatan yang boleh anda berikan kepada pengundi pada 19 November nanti?

FATIN: Sebelum ini masa Pilihan Raya Negeri (PRN), prosedur operasi standard yang diamalkan memang agak ketat. Malah masa itu juga saya dikuarantin dan tidak berkempen. Tetapi masih ramai juga yang keluar mengundi. Oleh itu, bagi PRU15 kelak, mungkin pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dapat memainkan peranan masing-masing dengan menggariskan SOP tertentu ketika orang ramai mengundi nanti. Mungkin boleh buka lebih banyak saluran agar para pengundi tidak perlu lagi berhimpit-himpit dan bersesak-bersesak.

Fatin beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Mersing.
Fatin beramah mesra dengan pengundi di Parlimen Mersing.

Apakah harapan anda kepada pengundi di Mersing pada PRU15?

FATIN: Harapan saya adalah untuk melihat orang Mersing keluar beramai-ramai mengundi pada 19 November nanti, jika orang di Mersing nak tengok perubahan di kawasan mereka. Selama lima penggal, tiada perubahan. Jadi, berikan peluang kepada HARAPAN untuk buat perubahan itu.

Berikan peluang kepada anak muda untuk wujudkan idea-idea baharu dan tolak idea-idea lama. Saya juga mengajak orang Mersing untuk berganding bahu dan seterusnya membawa harapan bagi orang muda, wanita dan kanak-kanak pada PRU15. Dengan motto ‘Mersing Berani Berubah,’ perubahan ini mampu direalisasikan.

ADVERTORIAL

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!