PRU15: Manifesto PH untuk Labuan dilancar
![Ramli Tahir](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/11/10/1977823.jpg)
LABUAN - Manifesto Pakatan Harapan (PH) khusus untuk Labuan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilancarkan pada Khamsi dengan menumpukan 11 isu lama dan baharu untuk penyelesaian.
Calon PH bagi kerusi Parlimen berkenaan, Datuk Dr Ramli Tahir berkata, kandungan manifesto tersebut telah dibincangkan secara menyeluruh dalam kalangan parti komponen PH dan bermatlamat menangani isu yang membelenggu penduduk Labuan sejak sekian lama.
"Kami (PH) bukan mahu menjadi juara sebaliknya membantu mengetengahkan isu-isu yang berlarutan lebih sedekad.
"Kesejahteraan rakyat dan pembangunan Labuan kekal menjadi fokus PH... kami mahu kebajikan rakyat menjadi keutamaan dan memastikan pertumbuhan ekonomi di pulau ini,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Beliau berkata, satu daripada isu penting yang perlu diberi perhatian ialah krisis bekalan air yang berlarutan dan keperluan untuk membina tangki air di semua kampung bagi menampung bekalan air sekiranya berlaku gangguan.
PRU15 menyaksikan Dr Ramli yang juga Ketua Bahagian Amanah Labuan berdepan pertembungan enam penjuru antara penyandang iaitu Ketua Bahagian Parti Warisan Labuan, Datuk Rozman Isli, Datuk Bashir Alias (Barisan Nasional-UMNO), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Perikatan Nasional-Bersatu), Dayang Rusimah @ Raynie Datuk Mohd Din daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Datuk Seri Ramle Mat Daly (Gerakan Tanah Air-Pejuang).
Labuan kini mempunyai 44, 484 pengundi berbanding 28,356 pada PRU14. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!