PRU15: Tentera dilarang berpakaian seragam ketika sertai ceramah

Mohd Asghar Khan (kanan) memakaikan pingat kepada veteran tentera, Shahidan Man, 71, pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Veteran ATM di Kolej Tentera Udara Alor Setar pada Khamis. - Foto Bernama
Mohd Asghar Khan (kanan) memakaikan pingat kepada veteran tentera, Shahidan Man, 71, pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Veteran ATM di Kolej Tentera Udara Alor Setar pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibenarkan untuk menyertai sebarang ceramah yang diadakan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 namun tidak memakai seragam tentera.

Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, pihaknya tidak menghalang hak mana-mana anggota untuk memilih dan mengundi kerajaan bagi menentukan masa depan negara.

"Dalam tentera ini, ada peraturan dan sedia maklum kita tidak terlibat dalam politik tetapi setiap anggota dan individu ada hak masing-masing untuk memilih kerajaan. Mereka boleh hadir mendengar ceramah tetapi bukan dalam pakaian seragam.

"Apa yang jelas, mereka tidak boleh terlibat secara langsung seperti berkempen dan membawa sepanduk serta bendera parti-parti politik. Perkara ini telah dijelaskan kepada semua anggota ATM dan mereka sedia maklum dan faham dan setakat ini tiada anggota yang dikenakan tindakan berhubung perkara berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 522 veteran ATM di Dewan Aeroangkasa Kolej Tentera Udara, dekat sini.

Sementara itu, Mohd Asghar Khan berkata, persiapan untuk proses mengundi awal pada 15 November dan undi pos telah dirancang dan segala kemudahan telah disediakan bagi memastikan semua anggota dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan lancar.

Mengenai PJM, beliau berkata, lebih 80,000 veteran tentera yang layak masih belum menerima pingat tersebut dan proses pelaksanaan akan dilakukan secepat mungkin bagi membolehkan mereka menerima bantuan dan manfaat yang telah disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!