PRU15:Pengundi kini lebih terbuka
TEMERLOH - "Kalau dulu generasi lama iaitu warga emas amat sukar untuk didekati tapi kini suasananya berubah, mereka lebih terbuka dan ini satu petanda positif buat kami," kata calon Pakatan Harapan (PH), Rosli Ismail,62, yang bertanding buat julung kalinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang.
Rosli yang juga Naib Ketua Cabang Keadilan Temerloh itu menyifatkan aura dan semangat rakyat kini berbeza dan ia memberikan semangat buat anak jati Temerloh itu untuk terus meraih keyakinan pengundi.
"Selepas beberapa hari berkempen, bukan saja warga emas, peneroka di Felda pun menyambut kami dengan tangan terbuka selain sokongan anak-anak muda yang sudi menghulurkan tangan untuk membantu kempen saya di DUN ini.
"Ia membuat saya dan jentera sedia ada lebih bersemangat untuk terus berkempen sehingga hari terakhir," kata pemegang Ijazah Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan BBA (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu.
Ditanya perubahan yang ingin dibawa di kawasan DUN Lanchang, Rosli yang juga bekas pengurus Felcra di Perak dan Pahang itu melihat aspek pertanian selain membantu golongan muda meningkatkan pendapatan menerusi platform media sosial yang kini telah menjadi sumber pendapatan utama di seluruh dunia.
"Banyak tanah terbiar dan kawasan pertanian iaitu pokok-pokok yang sudah tua terbiar, jadi saya ingin membantu untuk tanam semula dengan tanaman lebih menguntungkan seperti durian musang king serta variteti lain.
"Saya nampak itu antara potensi yang ada di kawasan ini selain memberikan latihan kepada anak-anak muda dalam sektor pertanian tanpa bergantung sepenuhnya dengan tenaga pekerja asing.
"Saya lihat jika diberikan latihan sesuai dengan perkembangan teknologi pertanian ditambah dengan isentif dan tangga upah lebih menarik, tidak mustahil untuk menarik golongan muda terlibat dalam sektor pertanian," tambah Rosli lagi.
Dalam pada itu, Rosli juga ingin memanfaatkan perkembangan teknologi untuk membantu anak-anak muda di DUN Lanchang untuk meneroka potensi besar dunia perniagaan atas talian.
"Pelbagai platform e-dagang yang ada dan anak muda di sini perlu diberikan pendedahan dan jika diberikan peluang, saya akan membantu mereka supaya tidak ketinggalan," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!