Mansor tekad selesaikan perjuangan

Calon PN mahu teruskan peranan untuk majukan Nibong Tebal

A
A
A

Bantuan bakul makanan yang disediakan kepada masyarakat Nibong Tebal.
Bantuan bakul makanan yang disediakan kepada masyarakat Nibong Tebal.

NIBONG TEBAL - Lebih banyak pembangunan dan kemajuan akan dibawa ke Nibong Tebal sekiranya penyandang kerusi berkenaan dari Perikatan Nasional (PN) terus diberi kepercayaan oleh rakyat pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Bukan sekadar memberi harapan dan menawarkan masa depan yang lebih baik untuk rakyat, malah trek rekod Datuk Mansor Othman selama menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu membuktikan pelbagai usaha telah dibuat dalam memastikan kesejahteraan rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Mansor berkata, sejak dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu pada PRU14 beliau telah mengatur perancangan jangka masa pendek dan panjang bagi membangunkan Nibong Tebal setanding dengan kawasan lain di negeri ini.

Menurutnya, kawasan parlimen terletak di bahagian paling selatan negeri ini agak ketinggalan dari segi pembangunan dan kurang mendapat perhatian termasuk hal berkaitan kemudahan asas untuk rakyat.

"Pelbagai isu yang membelenggu rakyat di sini telah diselesaikan satu per satu sejak saya dipilih menjadi Ahli Parlimen, namun saya lihat masih ada lagi misi yang perlu saya teruskan bagi membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat di sini.

Mansor mahu pastikan agenda pembangunan modal insan di Nibong Tebal terus diperkasakan dan kemudahan di semua institusi pendidikan di sini lengkap untuk kelancaran proses pembelajaran.
Mansor mahu pastikan agenda pembangunan modal insan di Nibong Tebal terus diperkasakan dan kemudahan di semua institusi pendidikan di sini lengkap untuk kelancaran proses pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

"Isu alam sekitar, pencemaran, kemiskinan, petani dan nelayan sentiasa menjadi perhatian saya dan solusi yang panjang diperlukan bagi menyelesaikan semua perkara ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Operasi PN Parlimen Nibong Tebal, di sini baru-baru ini.

Mansor berkata, antara perkara lain yang diberi perhatian ialah pembangunan modal insan di kawasan berkenaan yang mana banyak pelajar agak ketinggalan termasuk kurang kemudahan pembelajaran dan rangkaian Internet.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh golongan pelajar dan pihak sekolah, malah pelbagai peruntukan telah disalurkan kepada sekolah-sekolah berkaitan termasuk memberikan alat bantuan mengajar serta peranti yang diperlukan.

Jelasnya, penduduk Nibong Tebal bertuah kerana memiliki pelbagai institusi pendidikan dari peringkat rendah hingga ke universiti, malah di sini terdapat beberapa pusat kemahiran disediakan untuk memastikan masyarakat dapat meningkatkan ilmu sepanjang hayat.

MANSOR
MANSOR

"Banyak peruntukan telah disalurkan oleh pejabat Ahli Parlimen sebelum ini dalam memastikan semua yang diperlukan oleh sekolah dapat dipenuhi. Kita juga sering mengadakan kursus motivasi bagi memastikan pembangunan insan masyarakat di sini dapat dibela," katanya.

Utamakan keperluan rakyat

Berkongsi aspirasi dan perancangan lain yang mahu dilaksanakan, Mansor berkata beliau akan memperjuangkan nasib nelayan dalam meningkatkan ekonomi mereka selain mahu melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya saing walaupun di peringkat kecil-kecilan.

Tambah beliau, pelbagai program bimbingan dan bantuan khas untuk usahawan telah dilaksanakan dan akan terus diperkasakan sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat di sini.

Nasib komuniti nelayan di Nibong Tebal sentiasa diberi perhatian oleh Mansor.
Nasib komuniti nelayan di Nibong Tebal sentiasa diberi perhatian oleh Mansor.

Menyentuh mengenai pembangunan fizikal, ujar Mansor antara yang diperjuangkannya selama ini adalah untuk mendapatkan sebuah hospital baharu bagi menggantikan Hospital Sungai Bakap yang tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang ramai.

Tambah beliau, sebelum ini pihaknya pernah mencadangkan agar Institut Jantung Negara (IJN) membuka cawangan di sini bagi memberi kemudahan kepada pesakit dari kawasan utara mendapatkan perkhidmatan serta rawatan namun belum ada sebarang keputusan dibuat.

"Antara perancangan lain, saya mahu kemudahan seperti stesen bas dan teksi dapat dibina di sini selain mahu menjadikan kawasan Nibong Tebal sebagai pusat tarikan eko-pelancongan yang pastinya akan menyerlahkan lagi pembangunan di sini.

Pusat tarikan eko-pelancongan juga antara perancangan yang akan dilaksanakannya bagi memperkenalkan lagi Nibong Tebal sebagai destinasi menarik di Pulau Pinang.
Pusat tarikan eko-pelancongan juga antara perancangan yang akan dilaksanakannya bagi memperkenalkan lagi Nibong Tebal sebagai destinasi menarik di Pulau Pinang.

"Isu banjir, bau busuk dari tapak pelupusan sampah Pulau Burung juga akan diatasi dan semua ini agenda yang mahu saya selesaikan sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada 19 November nanti," katanya.

Dalam pada itu, Mansor berharap proses demokrasi yang akan berlangsung nanti berjalan dengan lancar malah persaingan sihat antara parti-parti yang bertanding juga dapat memberi pilihan terbaik untuk rakyat bagi memilih wakil rakyat mereka selain mengembalikan kestabilan politik negara.

Beliau percaya dengan pengalaman dan perkhidmatan yang pernah diberikan kepada masyarakat Nibong Tebal selama ini akan memberi kelebihan kepada PN untuk meneruskan aspirasi rakyat di kawasan berkenaan sekali gus membentuk kerajaan yang stabil di peringkat persekutuan.

Mansor turun memberi sokongan dalam program sukan yang dianjurkan sebelum ini.
Mansor turun memberi sokongan dalam program sukan yang dianjurkan sebelum ini.



ADVERTORIAL

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!