PRU15: Polis Pulau Pinang buka enam kertas siasatan

Sejak hari penamaan calon sehingga hari ini, polis Pulau Pinang menerima 20 laporan mengenai PRU15. - Foto Bernama
Sejak hari penamaan calon sehingga hari ini, polis Pulau Pinang menerima 20 laporan mengenai PRU15. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang membuka enam kertas siasatan berhubung laporan jenayah dan kesalahan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat ini.

Jurucakap Media PRU15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kerana memeras ugut pengadu yang ingin memasang bendera di Jalan Padang Tembak, Ayer Itam di kawasan Parlimen Bukit Bendera.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan pemerasan.

"Sejak bermula hari penamaan calon sehingga hari ini, polis menerima 20 laporan mengenai PRU15 dan setakat ini enam kertas siasatan telah dibuka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.

Beliau berkata, lima lagi kertas siasatan yang dibuka ialah Seksyen 427 KK (khianat), Seksyen 323 KK (mencederakan), Seksyen 324 KK (serang dan mencederakan), Seksyen 500 KK (fitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi).

Menurutnya, setakat ini pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 167 permit kepada semua parti politik dan calon Bebas yang ingin mengadakan ceramah.

"Proses berkempen dan perjalanan PRU15 di Pulau Pinang berjalan lancar dan masih dalam kawalan. Malah tiada insiden serius dilaporkan setakat ini," katanya.

Beliau berkata, semua parti serta penyokong dinasihatkan untuk saling menghormati dan tidak melakukan kerosakan seperti membakar atau mencabut poster, kain rentang dan bendera mana-mana parti politik.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya terdapat sebarang permasalahan, mana-mana pihak boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang sedia ada," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!