PRU15: 79 laporan polis diterima di Selangor

Arjunaidi - Foto Bernama
Arjunaidi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 79 laporan polis diterima sepanjang tempoh berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga semalam, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata, untuk tempoh yang sama sebanyak empat kertas siasatan dibuka membabitkan kes menceroboh pusat penamaan calon, menerbangkan dron dan mengeluarkan kenyataan berbau fitnah serta mengoyakkan bendera dan merosakkan papan iklan parti politik.

Selain itu, Arjunaidi berkata, pihaknya menerima sebanyak 660 permohonan bagi permit mengadakan ceramah sehingga semalam.

"Daripada jumlah itu sebanyak 642 permohonan diluluskan manakala baki tidak diluluskan kerana kawasan tidak sesuai serta bertembung dengan ceramah parti politik lain selain permohonan dibuat terlalu lewat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Latihamal Ex-Undi Persediaan PRU15 Kontinjen Selangor di Padang Kawad Universiti Teknologi Mara, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan Selasa lepas kerana melakukan pemerasan terhadap petugas bilik gerakan sebuah parti politik yang bertanding pada PRU15 di Petaling Jaya dekat sini.

Beliau berkata, lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di Taman Petaling Utama kira-kira jam 11 malam.

"Pemerasan ini tidak melibatkan elemen gengsterisme atau melibatkan parti politik dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!