PRU15: Syed Atif fokus keperluan, kehendak penduduk Pauh
ARAU - Merancakkan ekonomi setempat, pembangunan kerohanian, kebajikan rakyat dan sukan antara aspek yang menjadi teras manifesto calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, Syed Atif Syed Abu Bakar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Ketua Pemuda Bahagian Arau itu, asas kepada manifestonya itu berdasarkan daripada maklum balas dan keluhan yang didengari daripada penduduk dalam kawasan Pauh sendiri.
“Saya masih belum boleh berkongsi secara terperinci manifesto yang mahu ditawarkan kepada pengundi-pengundi dalam kawasan DUN Pauh ini.
“Mengambil kira keperluan dan kehendak penduduk dalam kawasan ini, saya telah merencanakan beberapa perkara meliputi aspek ekonomi, kerohanian dan kebajikan yang boleh memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.
“Terdapat beberapa aktiviti perniagaan berpotensi untuk dilaksanakan di Pauh yang mana saya lihat dapat menaik taraf ekonomi komuniti di kawasan ini antaranya berkaitan pelancongan, IKS (industri kecil dan sederhana) dan koperasi,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Syed Atif yang merupakan bekas Pengarah Eksekutif Pens Sdn Bhd berkata, aspek kebajikan berfokus kepada golongan memerlukan dan kurang upaya akan menjadi agenda utama di kawasan Pauh ini.
“Bagi aspek kebajikan ini, saya mempunyai kelompok sasaran tertentu untuk diberi tumpuan dalam manifesto PRU15 ini tetapi perinciannya pada awal minggu depan.
“Soal pembangunan kerohanian ada dua perkara yang mahu saya lakukan terutama berkaitan mengimarahkan masjid serta khatam al-Quran.
“Selain itu, aspek kemudahan sukan juga akan diletakkan dalam manifesto saya,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektronik dari Universiti Cardiff.
Syed Atif yang mengambil tempat penyandang DUN Pauh juga dari BN, Roziena Ahmad akan ditentang Megat Hashirat Hassan (PN-Bersatu), Azhar Ameir (PH-PKR) dan Mohd Khalid Ahmad (Warisan).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!