Penduduk Meru sudah lali dengan banjir

Keadaan rumah penduduk di sekitar Meru yang dinaiki air pada Khamis.
Keadaan rumah penduduk di sekitar Meru yang dinaiki air pada Khamis.
A
A
A

KLANG - "Kami dah lali dengan keadaan ini," demikian luah penduduk di sekitar kawasan Meru di sini ekoran banjir yang melanda sejak petang Khamis.

Penduduk, Muhammad Ridzuan Jali, 25, berkata, hujan lebat merupakan igauan ngeri berikutan kejadian yang mengakibatkan rumah didiami bersama isteri dan anak dinaiki air.

"Banjir kali ini biarpun tidak seteruk Disember tahun lalu tetap memberikan kesan kepada kami sekeluarga.

"Habis peralatan dan barangan tidak dapat diselamatkan, masa banjir tahun lepas pun sama, kerugian yang saya alami hampir ribuan ringgit, kali ini saya terpaksa mengalami perkara yang sama," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Meru, pada Khamis.

Katanya, kawasan sekitar rumahnya mula dinaiki air kira-kira jam 4.30 petang Khamis.

Hujan lebat beberapa jam pada mulanya mengakibatkan kawasan sekitar rumah saya dinaiki air.

"Tidak lama selepas itu, air mula masuk ke dalam rumah, ia berlaku sangat pantas, rumah saya pula bukan rumah dua tingkat jadi memang barang-barang tak sempat saya selamatkan," katanya.

Penduduk, Nasir Awang, 45, pula memberitahu, kawasan sekitar Meru merupakan lokasi yang sering berlaku banjir sekiranya hujan turun dalam jangka masa lama.

"Saya sebenarnya sudah lali dengan banjir ini, hujan lebat dalam beberapa jam, risiko berlaku banjir tetap ada.

"Entah sampai bila kami nak hadap dengan banjir ini, kami bukan orang senang, nak pindah ke kawasan lain, jadi mahu atau tidak, terpaksa terima dengan berat hati banjir ini," katanya.

Sementara itu, calon Parti Warisan bagi Parlimen Kapar, Datuk Seri Rahim Awang berkata, keadaan perparitan yang tidak sempurna antara faktor berlakunya banjir di Meru ini.

"Memang betul sekarang musim tengkujuh, namun masa sama sistem perparitan perlu dalam keadaan baik.

"Apa yang dikecewakan, kita lihat pembangunan semakin pesat dengan jumlah kepadatan penduduk yang tinggi namun sistem saliran tidak ditambah baik," katanya.

Pada Khamis, sebanyak lapan kawasan di sekitar Meru dilanda banjir kilat berikutan hujan tanpa henti sejak jam 3 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Norazam Khamis berkata, lapan kawasan itu ialah di Meru 3, Persiaran Hamzah Alang, Jalan Kasban, Jalan Kenangan dan Taman Daya.

Menurutnya, selain itu air juga melimpah di Jalan Khamis, Jalan Jabar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru.

Norazam berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir kilat pada jam 4.09 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!