TRW belum kibar 'bendera putih'

Rezal Zambery - Foto TRW Kelantan FC
Rezal Zambery - Foto TRW Kelantan FC
A
A
A

KELANTAN FC enggan mengibarkan ‘bendera putih’ meskipun tewas kepada finalis musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia minggu lalu.

Biarpun mengakui bukan tugas mudah, namun pengendali The Red Warriors (TRW), Rezal Zambery Yahya mahu pemain naib juara Liga Premier itu bangkit menyaingi Harimau Selatan dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Pada masa sama, Rezal Zambery berharap pemain-pemainnya tidak melakukan kesilapan mudah dalam misi meraih keputusan positif pada perlawanan tersebut.

“Kita tahu menentang JDT bukanlah tugas mudah, tambahan pula apabila berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim. Kita pun tahu JDT memiliki rekod yang baik setiap kali bermain di laman mereka.

Kami akan cuba beri sehabis baik dalam aksi tersebut. Justeru, saya berharap pemain-pemain yang akan diturunkan tidak melakukan kesilapan mudah pada perlawanan ini.

“Ini kerana menentang pasukan besar seperti ini, kita tidak boleh silap kerana kalau kita buat silap, kita akan dihukum oleh mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis

Dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV pada 5 November lalu, Kelantan tewas 0-3 kepada juara Liga Super sembilan kali itu hasil jaringan Bergson Da Silva (29’), Syafiq Ahmad (37’) dan Leandro Velazquez (74’).

Mengenai persiapan pasukan, Rezal Zambery berkata, TRW akan turun tanpa beberapa tonggak utama.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, beliau memberi bayangan mempertaruhkan pemain muda Kelantan bagi memberi pengalaman kepada mereka.

“Untuk perlawanan esok (Jumaat), saya akan buat rombakan besar dalam pasukan ini kerana empat pemain utama iaitu Arip Amiruddin, Ikhwan Yazek, Jasmir Mehat dan Nurshamil Abd Ghani tidak dapat diturunkan apabila berdepan penggantungan serta cedera.

“Berkemungkinan saya menurunkan pemain muda yang secara tidak langsung bakal memberi pendedahan dan minit permainan dalam mengembangkan karier mereka.

“Saya berharap pemain yang diturunkan dapat memberikan aksi terbaik dan dapat pengalaman daripada perlawanan ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!