Tidak mengaku terlibat kes AMLA hampir RM670,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengurus besar syarikat import dan eksport mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan terlibat dalam kes pengubahan wang haram hampir RM670,000, tahun lalu.

Mohd Fami Sharin, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melibatkan diri secara tidak langsung dalam transaksi memindahkan wang masing-masing RM 41,006.72; RM533,968.50 dan RM95,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Wang itu dipindahkan daripada akaun semasa bank milik sebuah syarikat ke akaun simpanan seorang rakannya dan dua syarikat lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, Cawangan Ampang Point di sini bermula 18 Mac hingga 19 September 2021.

Ia merupakan suatu kesalahan bawah perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, dibaca bersama perenggan 87(1)(b) akta sama yang boleh dihukum bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Perenggan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin dengan selepas mengambil kira keseriusan kes tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh merayu kadar ikat jamin ditetapkan pada kadar rendah kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Helina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 November depan untuk sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!