PRU15: Orang Asli mahu pemimpin macam Tok Pa
JELI - Orang Asli di Sungai Rual di sini mahu ahli Parlimen yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti 'cakna' seperti mana penyandang sebelum ini, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa atau lebih mesra dipanggil Tok Pa sudah 28 tahun bersama Orang Asli sebagai ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas.
Samat Tualang, 27, berkata, setiap minggu Tok Pa datang menjenguk dan bertanyakan khabar penduduk di sini.
"Tok Pa sudah macam ayah, susah senang kami semua dia ambil tahu.
"Kami sedih bila tahu Tok Pa sakit dan tidak dapat bertanding pada PRU15 ini," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Dia berkata, untuk PRU kali ini mereka mahu memastikan calon tersebut bukan sahaja pandai mengambil hati, tapi bertanggungjawab serta memahami kehidupan Orang Asli.
Bagi Zainal Dollah, 36, PRU kali ini sedikit sukar kerana mereka mengharapkan Tok Pa kekal bertanding.
"Lebih sukar lagi kami sudah biasa dengan BN dari dulu, sekarang calon yang menggantikan Tok Pa bertanding bagi pihak Perikatan Nasional (PN).
"Ini menyukarkan kami, bagaimanapun tunggu sehingga 19 November ini siapa yang akan dipilih," katanya.
Aniza Mohd Yusoff, 22, yang kali pertama akan mengundi pada PRU15 ini berkata, dia sangat bersemangat untuk berbuat demikian.
Katanya, pilihan akan dibuat mengikut calon mana yang dilihat memenuhi cita rasa serta akan meminta pandangan daripada orang tuanya juga.
"Saya ikut kata orang tua, sebab mereka lebih mengetahui siapa yang boleh membela nasib kami di sini," katanya.
Sebelum ini Tok Pa menerusi satu kenyataan mengesahkan beliau memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Jeli atas faktor kesihatan.
Sebagai ganti, Setiausaha politiknya, Zahari Kechik diumumkan sebagai calon Parlimen Jeli.
Zahari yang merupakan adik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Mohd Adhan Kechik itu akan bertanding menggunakan simbol bulan mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi PN.
Tok Pa memenangi Parlimen Jeli atas tiket BN sejak tahun 1995 dan mempertahankan kerusi berkenaan selama enam penggal berturut-turut.
Pada PRU15 Zahari bakal berdepan tentangan tiga lagi calon iaitu Dr Muhammad Daud (GTA-Pejuang), Norwahida Patuan (BN) dan Md Radzi Wahab (PH).
PRU14 lalu, Tok Pa yang bertanding atas tiket BN menang dengan majoriti 6,647 menewaskan calon Pas dan PKR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!