PRU15: Saya lebih selesa disapa mama - Habibah
TANJONG KARANG - Calon BN Parlimen Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof mahu pengundi muda memanggilnya 'mama' bagi mendekati pengundi di Parlimen berkenaan.
Habibah berkata, panggilan mama itu lebih disenangi dan ia telah diilhamkan semasa kepimpinan Pemuda UMNO Bahagian Tanjong Karang pada penggal sebelum ini.
"Sebenarnya gelaran mama ini sudah melekat pada saya sekian lama dan saya ingin meneruskan panggilan ini kepada semua anak muda di Tanjong Karang.
"Gelaran Datuk saya ini, kita simpan di tempat lain kerana tidak berminat hendak berprotokol," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Program Ceramah Kelompok Pusat Daerah Mengundi di Sungai Yu di sini pada Jumaat
Habibah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang memberitahu, secara peribadi, beliau lebih menyenangi anak-anak muda yang bertemu dengannya dengan panggilan terbabit.
"Saya berasa seronok kerana sebagai seorang perempuan, panggilan ini sangat istimewa kepada kami kaum wanita.
"Tapi jangan pula Ketua UMNO Cawangan memanggil saya mama, tetapi jika masih hendak panggil saya tiada masalah," jelasnya secara berseloroh.
Ditanya sejauh mana sokongan beliau di Parlimen itu berikutan masih terdapat kekecewaan sesetengah ahli UMNO selepas Tan Sri Noh Omar digugurkan mempertahankan kerusi itu, Habibah memberitahu, penerimaan beliau sebagai calon BN semakin bertambah baik.
Malah, tegas beliau, semua UMNO di peringkat cawangan sebulat suara kembali menyokong BN bagi terus mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Permulaan semasa pencalonan saya mereka terkejut dan saya faham tentang keadaan ini.
"Tan Sri Noh seorang pemimpin lama yang disegani di sini, beliau ramai pengikut dan ada penyokong fanatiknya," ujar beliau.
Bagaimanapun, katanya, selaku calon diketengahkan BN, beliau akan terus bekerja demi melaksanakan amanah dan tanggungjawab mewakili parti itu dengan sebaik-baiknya.
"Saya boleh beritahu akar umbi dan penyokong BN sudah kembali 100 peratus untuk menyokong kami menghadapi PRU15 nanti," ujarnya.
Pada PRU15, kerusi Parlimen Tanjong karang menyaksikan pertembungan lima penjuru termasuk dari Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Datuk Dr Zulkapferi Hanaf, Siti Rahayu Bahari (Pakatan Harapan), Azlan Sani Zawawi atau dikenali sebagai Lando (Gerakan Tanah Air) dan pesara kerajaan yang bertanding sebagai calon Bebas, Mohd Rosni Mastol.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!