'Bila hujan, kena pindah ke PPS'
KLANG - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia di sini dianggap sebagai rumah kedua mangsa banjir apabila mereka perlu berpindah setiap kali hujan lebat melanda.
Nor Asmah Miskan, 55, berkata, dia dan keluarga akan berpindah ke PPS berkenaan setiap kali hujan lebat berterusan melanda kawasan sekitar Kampung Johan Setia dan rutin berkenaan bermula sejak akhir tahun lalu.
Ibu kepada empat anak itu berkata, sejak tahun lalu dan sepanjang tengkujuh melanda tahun ini, dia dan keluarga terpaksa berpindah ke PPS SK Kampung Johan Setia berikutan kediaman mereka dinaiki air.
"Bila hujan lebat kena pindah ke PPS dan rutin ini bermula sejak akhir tahun lalu dan kami sudah terbiasa malah sudah mengasingkan barang penting bagi memudahkan urusan berpindah," katanya ditemui di PPS SK Kampung Johan Setia pada Jumaat.
Sementara itu, anak perempuannya, Nor Azlin Abu, 33, berkata, dia dan suami, Rohaijam Harith Syah Rokani, 39, sudah bersiap sedia awal dalam menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) pada kali ini.
"Apa yang ditakutkan sekarang adalah jika hujan lebih lebat berbanding tahun lalu pada akhir November dan Disember depan kerana keadaan mungkin lebih teruk berbanding sekarang atau tahun lalu.
"Tahun lepas kami sekeluarga terpaksa harungi air hingga paras dada, saya dan suami redah banjir ketika itu dan orang kampung bantu, kalau boleh tidak mahu ia berulang," kata ibu tujuh anak itu.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Nor Fadilah Mohd Yatim, 38, berkata, keadaan cuaca baik pada Jumaat membolehkan dia keluar dari PPS untuk melihat keadaan kediaman sepupunya, Norlaila Hasan, 49.
"Kami sudah membuat persediaan awal cuma kami bimbang sekiranya keadaan hujan lebat yang berpanjangan, kalau lebat sangat keadaan akan menjadi agak buruk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!