PRU15: 'Dulu nampak kita pakai baju dacing pun mengelak'
REMBAU - Sokongan pengundi masyarakat Cina di seluruh negara kepada BN menunjukkan petanda baik, mesra dan jelas berubah jika dibandingkan dengan pilihan raya umum 2018.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perubahan itu dilihat telah bermula sejak beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini sehingga ke pilihan raya negeri (PRN) termasuk di Melaka.
"Kalau dulu dia nampak kita pakai baju dacing pun mengelak, masuk semula dalam kedai. Sekarang mereka dah keluar menunggu kita, itu satu petanda yang baik dan mereka mesra.
"Bagaimanapun, penerimaan sikap mengundi kita tak tahu lagi tetapi penerimaan sikap gerak kerja (BN) amat baik, saya harap sikap ini terus mesra dengan BN untuk diterjemahkan semasa 19 haribulan nanti (hari mengundi)," katanya kepada pemberita ketika Walkabout di Pekan Kota pada Jumaat.
Mohamad yang juga calon BN Parlimen Rembau turut berpendapat masyarat Cina lebih melihat kepada faktor ekonomi, namun ada juga pengundi sosial.
"Faktor ekonomi yang mendorong mereka memilih ke arah mana. Mereka jelas sekali nampak semasa BN bertumbuh dengan baik dan mereka bersama-sama dapat menyertai kegiatan ekonomi dan membina kehidupan masing-masing.
"Saya tak boleh kata peratusan tetapi ia menujukkan majoriti responsif bukan sahaja di sini (Pekan Kota) tetapi jelas sekali sikap mesra itu ada," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!