20 individu ditahan culik tukang tilik

20 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan seorang tukang tilik.
20 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan seorang tukang tilik.
A
A
A

GEORGETOWN - Sepasang suami isteri serta anak lelaki mereka warga tempatan bersama 17 individu lain ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan seorang tukang tilik warga India pada Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, 11 daripada yang ditahan adalah warga asing dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, kesemua mereka yang berusia lingkungan 24 hingga 60 tahun itu ditahan dalam siri serbuan di beberapa lokasi sekitar Bukit Mertajam dan Kulim, Kedah.

Beliau berkata, penahanan kesemua suspek dibuat selepas polis menerima laporan pada 8 November lalu daripada seorang lelaki yang mengatakan anak lelaki kepada rakannya telah diculik.

"Kita menahan tujuh lelaki dan dua wanita tempatan serta 11 lelaki warga asing bagi membantu siasatan. Mereka adalah sepasang suami isteri, anak lelaki mereka dan adik perempuan kepada isteri suspek.

"Sementara suspek lain, mereka hanya kenalan kepada keluarga terbabit dan tiada pertalian darah antara mereka. Kejadian dipercayai ada unsur penipuan.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan. Dengan penahanan kesemua suspek ini, kita percaya kes ini telah selesai. Kesemua mereka direman sehingga 13 November ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Jumaat.

Mohd Shuhaily berkata, susulan penahanan suspek, polis berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai di Kulim.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shuhaily (kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek.
Mohd Shuhaily (kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek.

"Ketika ditemui, mangsa berada di atas lantai dalam keadaan kakinya dirantai menggunakan rantai besi dan mengalami beberapa luka kecil dipercayai dipukul di bahagian kaki dan belakang badan.

"Mangsa telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Siasatan lanjut mendapati, suspek telah menghubungi keluarga mangsa yang berada di negara asal lalu meminta wang tebusan sebanyak RM700,000. Keluarga telah membayar sejumlah wang kepada suspek," ujarnya.

Jelas beliau, siasatan mendapati, mangsa masuk ke negara ini pada tahun 2020 untuk mencari peluang perniagaan.

"Suspek bekerja sebagai pekerja restoran, ahli perniagaan dan beberapa pekerjaan lain. Pasangan suami isteri itu membabitkan si suami adalah pesara manakala isteri dan anaknya adalah pekerja swasta," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah kereta jenis Toyota Vios dalam penahanan suspek.

"Antara yang dirampas adalah 17 telefon bimbit, tujuh buku bank, tujuh kad ATM, dua batang besi, sebatang cota, rantai besi dan wang tunai RM2,085. Siasatan awal mendapati, kesemua suspek tidak terlibat dengan kes lain sebelum ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun," katanya.