Sistem sebut harga sukarkan peniaga bazar Ramadan
KUALA TERENGGANU - Peniaga di empat tapak bazar Ramadan di bandar Kuala Terengganu meluahkan rasa ‘tidak senang’ susulan tindakan pihak berkuasa tempatan memperkenalkan sistem sebut harga bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan sepanjang bulan Ramadan ini.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusoff berkata, sistem itu dilihat sebagai sesuatu yang baharu memandangkan sebelum ini perkara berkaitan diuruskan oleh persatuan.
“Dengan adanya sebut harga tersebut, agak sukar bagi kita, persatuan penjaja dan peniaga kecil untuk dapatkan tender.
“Sebelum ini tiada sebut harga, bergantung pada budi bicara pihak majlis malah kita selalu dapat tempat untuk berniaga di tapak bazar Ramadan di Dataran Shahbandar dan stesen teksi Tanjung. Tahun ini agak pelik sebab ada buat sebut harga.
“Apa yang menyukarkan persatuan penjaja ialah kita tidak mempunyai lesen (sijil pendaftaran Kementerian Kewangan) untuk masuk sebut harga tersebut dana terpaksa pinjam daripada mereka yang mempunyai lesen,” katanya.
Selain itu, katanya, pihaknya juga terpaksa menjelaskan situasi sebenar kepada ahli persatuan kerana kebanyakan mereka tidak bersetuju dengan sistem yang diperkenalkan itu yang mana akan mempengaruhi kenaikan harga sewa petak niaga.
“Memang ada ahli yang marah, kecewa dengan persatuan sebab mereka ingat persatuan tak ambil cakna kebajikan mereka. Saya harap semua bersabar.
“Kita dah buat pelbagai cara untuk dapatkan sebut harga itu supaya ahli-ahli dapat berniaga selama sebulan pada bulan Ramadan ini.
“Setakat ini, apa yang saya mampu kata ialah kita tunggu dulu sama ada sebut harga kita itu diluluskan atau tidak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!