PRU15: KDN hanya siasat aset Rafizi jika ada keperluan
Menteri berkenaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan berhubung perkara itu setakat ini akan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kalau satu agensi ambil tindakan maka biar satu agensi dahulu yang ambil tindakan. Bila diperlukan baru kita ambil tindakan,” katanya ketika ditanya pemberita adakah polis akan melakukan siasatan terhadap Rafizi berhubung perisytiharan hartanya.
Pada Khamis, media melaporkan SPRM akan membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta dilakukan Rafizi.
Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara sebelum itu menggesa SPRM menyiasat harta lebih RM18 juta yang diisytiharkan Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Pandan.
Presidennya, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz mempersoal deklarasi aset Rafizi dengan RM16 juta diperoleh melalui pegangan saham dalam syarikat yang diasaskannya sendiri.
Sementara itu, Hamzah berkata, sebanyak 92 kes dilaporkan di seluruh negara berkaitan kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat Khamis, merangkumi pelbagai kesalahan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan penyalahgunaan media sosial.
"Kita sedang buat siasatan dan kesalahan dalam akta lain akan kita teliti. Kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku seperti rusuhan,” katanya.
Terdahulu, Hamzah melancarkan pas digital (ePASS) pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di sini pada Jumaat.
ePASS ialah perkhidmatan dalam talian dan digital terbaharu Jabatan Imigresen yang membolehkan majikan mencetak sendiri pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!