PRU15: Suasana kempen 'sendu' di beberapa negeri
KUALA LUMPUR - Setelah hampir seminggu tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung, di beberapa tempat tertentu ‘kehangatan kempen’ kelihatan tidak seberapa bahangnya, malah suasana ‘hambar’ terasa di beberapa kawasan tertentu, seperti di Terengganu dan Melaka.
Ceramah politik, terutama yang menampilkan nama-nama besar dalam parti-parti politik, dahulunya adalah medium popular di Terengganu untuk berkempen setiap tiba musim pilihan raya, namun setakat ini penganjurannya kelihatan ‘sendu’.
Pada satu program ceramah oleh seorang calon yang bertanding di Parlimen Kuala Nerus baru-baru ini, bilangan yang hadir dalam lingkungan 20 orang sahaja.
"Kalau dulu ramai betul orang (datang)," kata seorang petugas parti.
Situasi itu antaranya mungkin disebabkan ramai calon PRU15 kini yang memanfaatkan media sosial seperti Facebook dan TikTok sebagai wadah kempen mereka.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang merupakan calon Parlimen Marang sendiri mengakui platform media sosial dilihat lebih dekat dengan pengundi, dan laman Facebook tokoh politik itu sendiri sentiasa dikemas kini dengan pelbagai kandungan.
Abdul Hadi biasanya membuat hantaran di laman Facebook beliau, sama ada untuk menyampaikan kenyataan rasmi, membuat lintas langsung kuliah agama atau memuat naik kandungan berunsur nasihat kepada para penyokong parti yang berorientasikan agama itu.
Calon BN Kuala Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong (BN-UMNO) turut menggunakan laman sosial media seperti Facebook dan TikTok, antaranya untuk berinteraksi secara langsung dengan rakyat dalam sesi 30 Minit Bersama Calon 'Sek Awok Tanye, Cikgu Jawab'.
Di Melaka pula ketandusan calon ‘heavyweight’ apabila parti-parti politik meletakkan majoriti muka baharu untuk bertanding merupakan antara faktor kempen di negeri itu agak hambar.
BN di Melaka mengambil pendekatan mengadakan ceramah kelompok yang menyasarkan kehadiran pengundi di sesebuah PDM tanpa ceramah mega yang menampilkan kehadiran 'top gun' parti untuk memperjelas sesuatu isu di peringkat nasional.
Cuma pada Rabu, suasana menjadi ‘sedikit hangat’ dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengadakan sesi tinjauan mesra di sekitar pekan dan pasar malam berdekatan Kampung Pulau di Durian Tunggal, Alor Gajah, yang merupakan kubu kuat Amanah iaitu parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Di Kedah, calon BN di Parlimen Pokok Sena Noran Zamini Jamaluddin berkata, kempennya berjalan lancar dengan bantuan jentera parti dan menyasarkan untuk bertemu seramai mungkin pengundi termasuk di kubu kuat seteru.
"Apa yang saya seronok adalah penerimaan masyarakat, kalau dulu BN sukar menembusi kawasan yang menjadi kubu kuat Pas namun kini senario itu sudah berubah.
Di Selangor, kempen di beberapa kawasan bertukar kepada misi menyantuni mangsa-mangsa banjir berikutan beberapa kawasan di daerah Petaling dan Klang dilanda banjir kilat sejak Rabu.
Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia dan PPS SK Binjai, Meru di Kapar dalam daerah Klang serta PPS Masjid Al Falah Kampung Budiman di daerah Petaling dibuka, menempatkan 633 mangsa banjir setakat Jumaat.
Malam Khamis, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga calon PH bagi Parlimen Gombak dan calon PN bagi Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali antara yang membatalkan aktiviti kempen untuk meninjau keadaan banjir di kawasan terlibat.
Pada Khamis, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang juga calon BN di Parlimen Sungai Buloh turun ke Kampung Melayu Subang bagi meninjau rumah-rumah yang terjejas banjir, serta calon PH Kota Raja, Presiden Amanah Mohamad Sabu turut melawat PPS di Sekolah Kebangsaan Johan Setia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!