Keputusan bantah semakan kes rasuah Bung Moktar, Zizie 9 Disember

Bung Moktar dan Zizie Izette.
Bung Moktar dan Zizie Izette.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan bantahan awal daripada pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan oleh penyandang kerusi Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung penetapan supaya mereka membela diri atas kes rasuah di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, akan diputuskan 9 Disember depan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.

Dalam prosiding pada Jumaat, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How manakala peguam, M Athimulan dan Datuk K Kumaraendran mewakili Bung Moktar dan Zizie Izette.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu selaku pemohon tidak hadir ke mahkamah bagi prosiding tersebut dan hanya diwakili peguam.

Semasa hujahan, Athimulan berkata, anak guamnya memfailkan usul untuk memastikan keadilan dicapai dan bukan suatu bentuk penyalahgunaan proses mahkamah.

"Sama ada melalui surat atau usul, tiada pemohon boleh memaksa mahkamah untuk mendengar semakan itu mengikut kehendak atau ragam mereka," katanya.

Semasa prosiding pada 17 Oktober lalu, Chin How berkata, pendakwaan membantah permohonan yang dibuat pasangan itu dengan alasan ia tidak sepatutnya difailkan melalui notis usul.

Menurutnya, kaedah pemfailan notis usul yang dibuat adalah salah dan bertentangan Seksyen 35 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Acara Jenayah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, permohonan semakan sepatutnya didengar atas budi bicara mahkamah dan bukannya melalui notis usul yang mana mahkamah terpaksa mendengar merit atau semakan itu.

Pada 2 September, Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozina Ayob memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada hari sama, Bung Moktar dan Zizie Izette memfailkan permohonan semakan keputusan kes secara berasingan.

Mereka memohon Mahkamah Tinggi supaya memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan keputusan untuk membela diri bagi kes rasuah dan bersubahat.

Dalam permohonan itu, kedua-duanya memohon perintah Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen tersebut.

Mereka mendakwa, hakim yang mendengar perbicaraan kes itu terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta kerana memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

Pada 23 September, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya didengar di Mahkamah Sesyen itu sementara menunggu permohonan semakan jenayah diputuskan.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!