[VIDEO] PRU15: Calon perlu mohon permit 'walkabout'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiap calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan membuat permohonan permit untuk setiap aktiviti 'walkabout' bagi membolehkan polis membuat pemantauan.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, permit bagi aktiviti 'walkabout' hanya perlu dipohon sekali untuk keseluruhan tempoh berkempen dalam kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana calon bertanding.

"Jika kawasan ditandingi melibatkan dua atau lebih daerah polis, maka permohonan perlu dikemukakan di salah satu Ibu Pejabat Polis Daerah yang berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hazani berkata, keperluan permohonan permit ini bagi membolehkan PDRM mengambil langkah dalam memastikan calon-calon dapat menjalankan aktiviti kempen dengan lancar.

"Calon yang bertanding hendaklah mengambil langkah bagi memastikan pertembungan dielakkan dan tiada provokasi lisan atau fizikal timbul semasa program 'walkabout' dijalankan," katanya.

Beliau berkata, calon perlu mengemukakan permohonan permit setiap kali mengadakan aktiviti perjumpaan dan perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka, hiburan awam terbuka atau memberikan ucapan awam atau syarahan terbuka semasa pilihan raya.

"Ia sepertimana ketetapan dibawah Subseksyen 24B(3) Akta 5 (kempen pilihan raya dan batasan mengenainya) Akta kesalahan Pilihan Raya 1954," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!