'Bakal MB Perak, ada calon lain lebih layak'
IPOH - Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman tidak mahu terlalu selesa dinamakan sebagai calon Menteri Besar Perak.
Beliau yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) berkata, masih ramai calon lain yang berkelayakan untuk dipertimbangkan ke jawatan itu.
Berbekalkan pengalaman sebagai pejawat awam, Zainal Azman yakin mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik meksipun hanya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Perkara ini (calon menteri besar), mungkin telah disebut oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli. Bagaimanapun saya berpandangan perkara ini tertakhluk kepada keputusan pilihan raya nanti.
"Mungkin terdapat calon lain yang boleh dipertimbangkan pucuk pimpinan parti. Berdasarkan pengalaman yang ada, Insya-ALLAH saya dapat beri sumbangan yang baik kepada Perak walaupun sebagai wakil rakyat sahaja atau di lain-lain jawatan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya di Pejabat PKR Perak di sini pada Jumaat.
Pada 3 November lepas, Rafizi secara terbuka memaklumkan bahawa bekas Setiausaha Kerajaan Negeri itu adalah calon Menteri Besar Perak sekiranya PH berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Zainal Azman berkata, kesediaannya bertanding pada PRU15 adalah bagi membantu PH memperoleh kemenangan bagi membentuk pentadbiran kerajaan negeri yang baharu dan lebih stabil.
"Saya berhasrat PH dapat menang sekurang-kurangnya 35 kerusi daripada keseluruhan 59 DUN," katanya.
DUN Kuala Sepetang pernah dimenangi calon PKR pada PRU tahun 2008 dan 2013, namun pada PRU14, calon parti itu tewas kepada BN dengan hanya majoriti 329 undi.
Pada PRU15 ini, kerusi DUN Kuala Sepetang menyaksikan pertembungan empat penjuru.
Selain Zainal Azman, turut bertanding adalah penyandang kerusi berkenaan, Mohd Kamaruddin Abu Bakar daripada BN, Ahmad Man (Perikatan Nasional) dan Norhaliza'awayati Meman (Pejuang).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!