PRU15: Hukum BN, PH kerana tidak jujur dalam manifesto

Mohamed Azmin menyampaikan ceramah dalam program Rakyat PN di Sungai Batu, Teluk Kumbar pada Jumaat.
Mohamed Azmin menyampaikan ceramah dalam program Rakyat PN di Sungai Batu, Teluk Kumbar pada Jumaat.
A
A
A

BALIK PULAU - Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengajak rakyat untuk menghukum BN dan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak jujur dalam menyampaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi Parlimen Gombak itu berkata, BN dan PH sering kali melaungkan akan menubuhkan kerajaan bersih daripada rasuah namun beberapa calon mereka sedang menjalani prosiding mahkamah kerana isu rasuah.

Menurutnya, pemimpin senior BN dan PH sepatutnya memberi laluan kepada tokoh muda sementara kes mereka sedang berjalan di mahkamah.

"Perkara itu telah dibuktikan dan ia bukan tuduhan palsu. Beberapa nama besar PH dan BN sedang berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah. Sepatutnya mereka memberi laluan kepada tokoh-tokoh baharu sementara kes dibicarakan di mahkamah.

"Ia tidak memberikan satu gambaran yang baik dan positif mereka akan membentuk kerajaan yang bersih, stabil serta tidak rasuah. Mana mungkin ia boleh berlaku jika calon mereka sendiri sedang berhadapan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah," katanya ketika ditemui selepas program ceramah Rakyat PN di Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff dan calon PN Parlimen Balik Pulau, Mohd Harris Idaham Mohd Rashid.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata, rakyat kini cukup matang untuk menilai gabungan yang benar-benar ikhlas dan mampu membentuk kerajaan yang kuat dan stabil.

"Saya serahkan kepada rakyat untuk menghukum PH dan BN yang tidak jujur dalam menyampaikan manifesto mereka kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga percaya rakyat hari ini cukup matang, pengundi di Pulau Pinang matang dan dapat menilai siapakah gabungan yang benar-benar ikhlas dan mampu membentuk kerajaan yang kuat, stabil, prihatin serta bersih iaitu PN," jelas beliau.

Dalam ceramahnya, Azmin turut membidas PH dan UMNO apabila mendakwa kedua-dua parti itu dipenuhi pemimpin rasuah namun tidak mendedahkan nama mereka.

"Macam mana mereka nak menentang rasuah sebab pemimpin mereka pun turun naik mahkamah kerana pertuduhan rasuah. PH Melayu rasuah, Cina pun rasuah.

"Bagan, Muar nak bersih macam mana. Yang muda rasuah, yang tua pun rasuah. Tetapi calon-calon PN bersih daripada amalan rasuah. Tiada kes mahkamah melibatkan rasuah. Jika yakin, undi lah PN," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!