Pembangkang dakwa kerajaan sengaja mahu hukum Najib
KUALA LUMPUR – Pembangkang mendakwa kerajaan PH mempunyai agenda untuk menghukum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memuat naik sebahagian laporan Kertas Putih Felda di akaun Facebooknya, semalam.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu nampak jelas apabila PH telah mengemukakan usul untuk menggantung Ahli Parlimen Pekan itu selama tiga bulan sejak semalam sebelum mengarahkan Najib untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
“Niat kerajaan PH untuk menghukum Ahli Parlimen Pekan sudah ada dari mula. Petang semalam, mereka usul untuk gantung tiga bulan, pagi ini mereka ubah untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Kita tahu apa akan berlaku kalau jawatankuasa cadangkan digantung tiga bulan.
ARTIKEL BERKAITAN: Langgar embargo: Kesalahan Najib serius, kata PM
“Cuma mungkin mereka tak mahu nampak terlalu ganas, zalim jadi mereka tetap merujuk kepada jawatankuasa sebelum hukum,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Menurut Ismail lagi, Najib tidak melakukan kesalahan kerana laporan itu telah pun menjadi dokumen umum di laman sesawang Parlimen pada 9 April lagi.
“Kita tak setuju (tindakan terhadap Najib) kerana isu pokoknya embargo. Tapi bukti jelas dokumen yang sepatutnya embargo telah menjadi dokumen umum apabila laman sesawang Parlimen mengeluarkannya pada 9 April. Bila laman sesawang Parlimen keluarkan dan boleh diakses sesiapa," kata Naib Presiden UMNO itu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, dokumen tersebut turut diletakkan oleh pegawai Parlimen di atas meja setiap ahli Parlimen pada jam 3 pagi pada 9 April lepas untuk dibaca dan diteliti sebelum ia dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali sehari selepas itu.
Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming turut berkata hanya pemakluman mengenai agenda mesyuarat di Dewan Rakyat yang dipaparkan di laman sesawang Parlimen pada 9 April dan bukannya dokumen penuh sebelum pembentangan pada 11.30 pagi 10 April.
Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera tidak mahu menyalahkan kakitangan Parlimen yang meletakkan dokumen tersebut kerana isunya ialah agenda PH yang mahu menghukum bekas Perdana Menteri itu sendiri.
“Kita bukan hendak menyalahkan kakitangan atau pegawai Parlimen tapi tindakan yang dikenakan terhadap Najib ini jelas PH menggunakan kuasa majoriti menghukum perkara yang tidak salah kepada salah,” katanya.
Semalam, semasa sesi penggulungan usul Kertas Putih itu, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) menggunakan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat sambil mencadangkan tindakan ke atas Najib yang melanggar peraturan.
Laporan Kertas Putih Felda hanya dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, dengan status embargo tidak boleh disiarkan sebelum jam 11.30 pagi hari sama iaitu pada 10 April.
Menurut Peraturan Mesyuarat 95A, mana-mana pihak yang mendedahkan keseluruhan atau sebahagian dokumen mesyuarat Dewan Rakyat berstatus embargo, adalah melakukan perbuatan menghina Dewan Rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!