Peluang pekerjaan makin bertambah di bawah pimpinan Ismail Sabri

A
A
A

Golongan wanita dan belia antara yang diberi tumpuan khusus dalam meningkatkan bekalan tenaga kerja pada Bajet 2023 dengan nilai peruntukan sebanyak RM18.6 bilion.
Golongan wanita dan belia antara yang diberi tumpuan khusus dalam meningkatkan bekalan tenaga kerja pada Bajet 2023 dengan nilai peruntukan sebanyak RM18.6 bilion.

SHAH ALAM - Pandemik Covid-19 yang melanda negara dengan kes pertama dikesan pada Januari 2020, mencetuskan pelbagai impak kepada rakyat negara ini terutama dari segi sumber pendapatan kerana ramai yang hilang pekerjaan.

Rekod pengangguran tertinggi dicatat adalah pada suku kedua 2020 pada kadar 5.1 peratus iaitu ketika negara di puncak jangkitan pandemik Covid-19 dan sedikit demi sedikit turun sehingga ke tahap 3.6 peratus untuk suku ketiga tahun ini.

Penurunan itu disumbangkan oleh beberapa langkah kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti inisiatif di bawah JaminKerja Keluarga Malaysia yang menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada lebih 310,000 orang setakat ini.

Biarpun jumlah pengangguran telah menunjukkan penurunan positif, namun kerajaan terus memberi tumpuan khusus dalam Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu.

Dalam Bajet itu, kerajaan akan meneruskan Insentif Penggajian di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan baharu untuk Keluarga Malaysia yang menganggur seperti orang kurang upaya (OKU), Orang Asli, bekas banduan dan wanita yang kembali bekerja.

Insentif penggajian antara RM600 hingga RM750 sebulan akan dibayar untuk tempoh tiga bulan kepada majikan dan dijangka dapat membuka peluang kerjaya kepada lebih 70,000 pencari kerja.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Kerajaan melalui Perkeso juga akan menyediakan bantuan mobiliti sebanyak RM500 kepada pencari kerja yang mendapat pekerjaan di luar negeri dan bermastautin.

Selain itu, kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan MySTEP dengan menawarkan 50,000 peluang kerjaya secara kontrak merangkumi 15,000 dalam sektor awam dan 35,000 orang melalui syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dengan gaji dinaikkan sebanyak RM100 iaitu antara RM1,500 hingga RM2,100 ringgit berbanding RM1,400 hingga RM2,000.

Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) juga akan menyediakan sejumlah RM750 juta ringgit untuk memberi latihan kemahiran kepada lebih 800,000 pekerja bagi meningkatkan produktiviti dan peluang pendapatan.

Suruhanjaya Sekuriti dengan kerjasama Dana Pembangunan Pasaran Modal turut melaksanakan Program Graduan Pasaran Modal melibatkan RM30 juta bagi meningkatkan kebolehpasaran 9,000 graduan dalam pasaran modal.

Selain itu, RM20 juta akan disediakan bagi melaksanakan Program Usahawan Siswazah (Push) untuk manfaat 1,000 graduan menceburi bidang keusahawanan.

Tambah baik pasaran buruh

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, Bajet 2023 memperuntukkan sekurang-kurangnya RM99.7 bilion yang meliputi ekosistem pasaran buruh, bekalan buruh, pasaran pekerjaan dan permintaan buruh.

Menurutnya, kerajaan telah membentangkan Bajet 2023 dengan salah satu matlamatnya untuk menambah baik lagi keadaan pasaran dengan memperkasakan kumpulan fokus seperti B40, M40, wanita dan belia dengan nilai RM18.6 bilion.

Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari
Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari

"Di samping itu, komponen permintaan buruh tertumpu kepada mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat melalui langkah langsung dan tidak langsung yang bernilai sekurang-kurangnya RM80.9 bilion.

"Langkah pengukuhan pasaran pekerjaan melalui insentif mencari pekerjaan dan pemadanan untuk meningkatkan pekerjaan dijangka menelan belanja sekitar RM208 juta," katanya.

Mohd Yusof menyifatkan pendekatan multidimensi untuk memberi insentif kepada orang ramai bekerja, menyelaraskan semula kemahiran dan kecekapan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan industri adalah kunci untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

"Pengangguran belia, kebolehpasaran siswazah, perlindungan pekerja dan pembangunan bakat ditangani dalam Bajet 2023 dengan memanfaatkan teknologi tinggi sekali gus memperkukuh peningkatan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan taraf hidup," katanya.

Beliau berkata, hala tuju Bajet 2023 jelas melibatkan peruntukan yang besar untuk merangsang pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor strategik, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan memberi insentif kepada pendigitalan dan automasi.

"Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) digalakkan meningkatkan rantaian nilai berinovasi dan menghasilkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi. Ini penting untuk mewujudkan pekerjaan sebenar untuk rakyat Malaysia," katanya.

Mohd Yusof turut melihat mengoptimum penciptaan pekerjaan melalui pengambilan pekerja yang inklusif dan mekanisme pemadanan pekerjaan yang lebih baik dapat mengatasi sektor ekonomi yang mengalami kekurangan tenaga kerja.

"Menambahbaik mekanisme pemadanan pekerjaan adalah penting untuk mengurangkan geseran pencarian kerja. Dalam Bajet 2023, pembangunan Pusat Satelit MYFutureJobs di seluruh negara dan Pusat Penempatan Nasional penting untuk membantu pencari kerja mencari pekerjaan yang berkaitan.

"Selain itu, dasar dan inisiatif mengenai pasaran buruh yang dimasukkan dalam Bajet 2023 turut menyokong Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

"Sebagai contoh, peruntukan RM235 juta dalam dana pembiayaan untuk menggalakkan lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi pemasaran.

"Inisiatif ini dijangka meningkatkan penyertaan buruh wanita dan secara langsung menyokong hala tuju dasar Bab 10 dalam RMK-12 tentang Membangun Bakat Masa Depan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!