MSAM 2022 tawar hadiah bernilai lebih RM1 juta
PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) kembali menganjurkan Minggu Saham Amanah Malaysia 2022 (MSAM 2022) secara fizikal selepas dua tahun acara tahunan itu dianjurkan secara maya.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, dengan tema 'Melestarikan Pelaburan Ke Arah Masa Hadapan Mampan', MSAM 2022 akan mengekalkan pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan pelaburan bersepadu yang interaktif, menghiburkan dan menarik untuk rakyat Malaysia dari semua peringkat umur.
Menurutnya, PNB menyasarkan 150,000 pengunjung menghadiri acara yang bakal berlangsung selama tujuh hari bermula 24 November hingga 30 November depan di Negeri Sembilan.
"MSAM 2022 bakal menyediakan pelbagai aktiviti hibur-didik untuk disertai oleh masyarakat dari pelbagai bangsa dan usia. Sejumlah 50 pempamer akan mengambil bahagian yang terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, badan Kawal Selia, serta agensi kerajaan dan swasta.
"Pameran ini memberi peluang kepada orang ramai untuk memahami tentang pelaburan unit amanah dengan lebih jelas, di samping mengenali operasi, sektor industri dan pencapaian syarikat-syarikat Kumpulan PNB.
"Orang ramai dapat mempelajari bagaimana pulangan yang diperoleh menerusi pelaburan dalam syarikat-syarikat ini diagihkan semula kepada para pemegang unit dalam bentuk agihan pendapatan,"katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan Rakan Korporat MSAM 2022 di Menara PNB pada Jumaat.
Pada majlis itu, PNB turut memperkenalkan 11 syarikat Kumpulan PNB yang bertindak sebagai Rakan Korporat MSAM 2022.
Ia terdiri daripada Malayan Banking Berhad (Maybank); Sime Darby Plantation Berhad; UMW Holdings Berhad; S P Setia Berhad; Sime Darby Berhad; Sime Darby Property Berhad; Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF); MNRB Holding Berhad; Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua); Projek Lintasan Kota Holding Sdn Bhd (PROLINTAS); dan Duopharma Biotech Berhad.
MSAM 2022 bakal diadakan di Kawasan Lapang Pantai Batu 1, Port Dickson, Negeri Sembilan dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Walaupun acara ini kini dianjurkan fizikal, MSAM 2022 terus mengekalkan beberapa aspek digital yang diperkenalkan semasa penganjuran MSD, antaranya e-pendaftaran, kuiz pengunjung bertuah dan aplikasi acara yang memaparkan semua maklumat serta kaji selidik MSAM yang dipermudahkan melalui imbasan kod respons pantas.
Pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM1 juta juga disediakan untuk dimenangi oleh para pengunjung.
Antara hadiah utama yang disediakan adalah sebuah kereta elektrik Hyundai Kona Electric Lite bernilai lebih RM156,000; sebuah kereta elektrik Toyota Corolla Cross Hybrid Electric bernilai hampir RM140,000; sebuah Perodua Alza 1.5 AV berharga RM75,500; sebuah motosikal Yamaha MT-25 berharga RM21,500; dan enam buah motosikal Yamaha 135 LC FI dan pelbagai hadiah menarik termasuk barangan elektrik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!