Politik matang, Ajar Demokrasi mahu perkasa anak muda

Muhammad Amin
Muhammad Amin
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan anak muda luar bandar sama sekali tidak akan diketepikan daripada memberi sumbangan besar kepada lanskap dunia politik negara sekali gus memacu Malaysia ke mercu kecemerlangan.

Pengarah Ajar Demokrasi, Muhammad Amin Mubarak berkata, penglibatan anak muda luar bandar di dalam dunia politik seharusnya diberi perhatian dan fokus utama seperti mana sumbangan yang diberikan oleh golongan sama di bandar-bandar utama.

Katanya, anak muda dan golongan belia di luar bandar perlu diperkasakan dengan senario politik semasa negara, maklumat terkini tentang kepartian, mendalami isu-isu politik dalaman serta diberi pengetahuan meluas terhadap sistem perundangan negara.

"Atas sebab itu, kami di Ajar Demokrasi mengambil inisiatif melancarkan kempen Bingo sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mahu membantu anak muda di luar bandar cakna dengan kepentingan mereka terlibat dalam pilihan raya kali ini.

"Bukan sekadar mengajak mereka keluar beramai-ramai mengundi dan memilih calon yang bersih sebagai pemimpin, kami juga mahu mereka berasa teruja untuk menyertai parti politik dan memberi sumbangan besar kepada negara menerusi bidang yang penting ini.

"Kita tidak mahu mereka yang berada di bandar atau anak muda urban sahaja yang terlibat secara langsung dengan politik, sebaliknya golongan belia yang berada di luar bandar juga mampu menjadi entiti penting terhadap dunia politik negara," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Jumaat.

Kempen Bingo yang dilancarkan hari ini membawa slogan 'Kita Raja Sehari' dan 'Pilihan Raya Pilihan Kita' adalah usaha Ajar Demokrasi mendekati anak muda terutama di luar bandar secara mesra dan mudah.

Menggunakan Bahasa Malaysia sebagai medium pengantar di dalam kempen Bingo yang disebar luas menerusi media sosial seperti Instagram dan TikTok, ia diharap dapat memberi kefahaman jelas kepada semua lapisan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhammad Amin berkata, pihaknya merasakan anak muda masih kurang didekati apabila kebanyakan program atau inisiatif yang dijalankan oleh parti politik tidak melibatkan kumpulan anak muda.

Disebab itu menurutnya, anak muda seakan kurang berminat dengan dunia politik kerana mereka merasakan ia satu yang eksklusif dan rumit untuk diikuti sepenuhnya.

Namun begitu katanya, perkara seumpama itu seharusnya tidak berlaku kerana anak muda adalah generasi pemimpin masa hadapan yang perlu dibimbing dan diberikan pendedahan sebaiknya.

Malah tambahnya, anak muda juga merasakan mereka bukan kepunyaan atau milik kepada parti politik apabila dipinggirkan dalam menentukan dasar atau polisi kerajaan.

"Anak muda terutama di luar bandar merasakan mereka seumpama tidak memberi sebarang manfaat dalam pembentukan negara berbanding golongan mahasiswa yang berada di menara gading.

"Malah mereka juga merasakan tidak memperoleh apa-apa daripada parti politik dan kerajaan, sekali gus perkara seumpama ini menjauhkan mereka untuk terlibat dalam membina negara," katanya.

Katanya, terdapat tiga golongan anak muda di dalam dunia politik iaitu mereka yang muak dan bosan, keduanya golongan yang muak tapi masih mengharap dan terakhir adalah mereka yang masih bersungguh-sungguh hendak menyertai politik.

Jelasnya, anak muda adalah ejen perubahan dan menjadi indikator baharu untuk dimensi politik negara.

Menurutnya, gambaran kecenderungan anak muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan beberapa pilihan raya di Tanjung Piai serta di dua buah negeri iaitu Sabah serta Sarawak adalah sekitar 40 hingga 45 peratus sahaja.

"Mungkin ada satu kelompongan atau kesilapan yang mana golongan muda masih kurang keluar mengundi pada beberapa pilihan raya tersebut.

"Maka Ajar Demokrasi merasakan perlu mengisi ruang-ruang kelompongan tersebut dengan lebih mendekati anak muda secara santai, mesra serta mudah, sekali gus membantu Malaysia mempunyai lebih ramai pelapis terbaik untuk memimpin negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!