Tuduhan terhadap tentera fitnah, Anwar perlu minta maaf: PM
Beliau berkata, dakwaan Anwar juga mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menghina anggota tentera bukan hanya di Bera, malah di seluruh negara yang selama ini berkhidmat mempertahankan negara serta dihormati masyarakat.
"Tuduhan mengatakan tentera dibayar ini tuduhan jahat. Jangan hina anggota tentera. Saya minta Anwar tarik balik tuduhan tersebut dan minta maaf (tapi) bukan pada saya tetapi kepada anggota tentera kerana tuduh mereka terima wang dan sebagainya,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media di selepas menghadiri program Moh Ngeteh bersama komuniti Orang Asli di Kampung Bongkok di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Anwar yang disiarkan sebuah portal berita kononnya terdapat kem tentera terutamanya di Bera, yang melaksanakan undian awal pada Jumaat, selain dikatakan dibayar RM300.
Selain itu, Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan apa yang didakwa sebagai undi awal itu adalah undi pos kepada anggota pasukan keselamatan yang boleh memohon untuk mengundi secara pos, jika mereka tidak dapat hadir semasa hari mengundi awal kerana bertugas.
"... di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kita ada kategori undi pos, ada undi awal dan undi biasa," katanya.
SPR menetapkan 15 November sebagai hari pengundian awal manakala hari pengundian adalah pada 19 November ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!