BN perlu pulihkan kembali keyakinan pelabur, ekonomi

Adnan
Adnan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Tugas penting yang perlu dilaksanakan oleh BN ialah mengembalikan semula keyakinan pelabur dan memulihkan semula ekonomi negara supaya dapat menghadapi sebarang cabaran pada masa depan.

Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Adnan Seman, sebelum ini Malaysia merupakan sebuah negara yang bagus daripada segi ekonomi dan mampu bersaing dengan negara jiran seperti Singapura, Vietnam dan Indonesia.

“Tetapi negara kini jauh ketinggalan dari segi pelaburan asing dan ini sangat mengecewakan kita. Saya percaya ia amat berkait dengan kegagalan dalam pentadbiran, ia berkait soal kompetensi, kemampuan untuk mentadbir negara. Jadi pemimpin-pemimpin yang akan diangkat sebagai barisan kabinet nanti perlukan satu pasukan kuat.

“Mentadbir negara ini bukan soal perdana menteri, soal individu semata-mata tetapi ia adalah soal pasukan yang hendak dibawa, siapakah timbalan perdana menterinya, siapakah menteri kewangannya, menteri perdagangan, menteri luar, semua menteri ini memainkan peranan untuk melaksanakan apa jua dasar dalam negara.

“Sebab itulah, dalam memilih parti-parti yang bertanding ini, tidak hanya boleh melihat calon perdana menteri semata-mata, kita juga harus lihat kepada barisan kepimpinan yang diketengahkan kerana mereka inilah yang akan menganggotai jemaah menteri, membentuk satu pasukan jemaah yang kuat,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Jelas Adnan lagi, akibat kegagalan kerajaan sebelum ini, bursa saham jatuh, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot dan nilai Ringgit juga amat lemah.

“Walaupun mereka (kerajaan terdahulu) menyatakan cuba menyelamatkan negara, memberi harapan baharu kepada rakyat tetapi hakikatnya negara tidak diselamatkan, ekonomi terjejas, hutang negara meningkat melebihi RM1 trilion daripada RM686 bilion dan ini menggambarkan bahawa kegagalan kerajaan itu perlu segera dipulihkan.

“Yang lebih membimbangkan kita, selepas PRU14, kita lihat bukan sahaja perpaduan kaum tetapi soal kestabilan politik telah merencatkan pembangunan negara dan juga menjejaskan keyakinan pelabur kepada negara Malaysia,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Adnan yang juga seorang peguam berkata, tawaran yang diberikan oleh BN iaitu adalah kestabilan dan kemakmuran serta memulihkan semula kestabilan politik negara adalah yang terbaik untuk Malaysia.
Artikel Berkaitan:


“Saya yakin politik negara akan stabil dan ia juga akan memberikan keyakinan tinggi pada para pelabur untuk kembali dalam negara,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!