Permohonan Najib kes saman 1MDB didengar Februari depan

Najib
Najib
A
A
A
KUALA LUMPUR - Permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan injunksi mareva diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu anak syarikatnya, bagi menghalang bekas perdana menteri itu daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta, akan didengar pada 7 Februari tahun depan di Mahkamah Tinggi di sini.

Pada 8 Februari lepas, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited), yang masing-masing merupakan plaintif pertama dan kelima, dalam saman 1MDB terhadap Najib dan beberapa individu lagi.

Peguam Siva Kumar Kanagasabai mewakili 1MDB ketika dihubungi pemberita berkata, prosiding pendengaran itu akan berlangsung secara fizikal pada 9 pagi di hadapan Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad.

Pada Khamis, mahkamah menolak permohonan Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang untuk menghadiri prosiding pendengaran itu.

Injunksi mareva ialah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.

Injunksi itu juga mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman, namun sekiranya memerlukan lebih daripada jumlah itu, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Perintah itu juga menyatakan, Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified, berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681 juta, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Dalam saman itu, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) dinamakan sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).
Artikel Berkaitan:


Saman AS$8 bilion itu adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!