Hans 'bersara' dua tahun daripada kerja seni

Hans berkata, dia melepaskan jawatan penting dalam syarikat penerbitan Tall Order bagi mengelakkan sebarang konflik sepanjang bergelar pengerusi perbadanan terbabit.
Hans berkata, dia melepaskan jawatan penting dalam syarikat penerbitan Tall Order bagi mengelakkan sebarang konflik sepanjang bergelar pengerusi perbadanan terbabit.
A
A
A

DATUK Gerald Hans Isaac, 47, tidak akan terbabit dengan sebarang aktiviti seni, termasuk penerbitan, sepanjang tempoh dua tahun memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Memetik laoran Berita Harian, pelakon dan penerbit terkenal itu berkata, dia sebaliknya mahu memberikan tumpuan penuh kepada usaha menunaikan amanat yang diletakkan ke bahunya, berkuat kuasa 8 April lalu.

Malah, bintang Lemak Kampung Santan itu juga berkata, dia melepaskan jawatan penting dalam syarikat penerbitan Tall Order bagi mengelakkan sebarang konflik sepanjang bergelar pengerusi perbadanan terbabit.

“Pada awalnya, saya hanya meminta tempoh setahun untuk memegang jawatan ini. Tetapi, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo, meminta saya berbuat demikian bagi tempoh dua tahun.

“Berikutan itu, saya perlu melepaskan tanggungjawab dan komitmen yang dipegang selama ini, termasuk saham serta jawatan dalam Tall Order milik saya bersama beberapa pihak lain. Saya mahu bersikap telus dan berkecuali.

“Saya juga tiada kepentingan dengan mana-mana pihak. Tak adil jika saya masih aktif dalam seni dan pada masa sama memikul tanggungjawab berkenaan. Saya tidak mahu ada agenda yang bercampur baur,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media di kompleks Finas, Hulu Klang, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hans Isaac dilantik Pengerusi Finas

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Norman Abdul Halim.

Artikel Berkaitan:

Pengarah, penulis dan pelakon filem Buli itu turut mengakui mengambil masa bagi membulatkan keputusan menerima jawatan terbabit.

“Saya menerima tawaran untuk memegang jawatan berkenaan sejak empat bulan lalu dan saya akui takut bercampur teruja apabila dihulurkan peluang itu.

“Lagipun, banyak perkara ingin saya lakukan dalam kehidupan sendiri. Namun, saya akur tidak boleh mementingkan diri sendiri dalam hal ini.

“Melihat sebahagian artis lama yang hidup melarat juga menjadi titik tolak untuk saya menerima pelantikan ini. Saya rasa perlu dan terpanggil melakukan perubahan, terutama untuk lebih 20,000 penggiat seni tanah air,” katanya.

Mengenai 15 manisfesto yang direncanakan, Hans memaklumkan perkara itu belum dapat didedahkannya buat waktu ini.

“Ia hanya akan diumumkan dalam sidang media lain, tidak lama lagi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!