PRU15: Tuan Ibrahim berceramah guna 'skylift'
SHAH ALAM – Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin meriah apabila calon-calon bertanding menggunakan pelbagai cara bagi menarik minat pengundi mendengar ceramah dan mendekati mereka.
Tidak terkecuali adalah calon Parlimen Kubang Kerian dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggunakan skylift untuk menjadikan ceramahnya lebih unik.
Dalam satu video yang dikongsikan oleh Tuan Ibrahim di laman Facebooknya menunjukkan beliau berada di atas skylift berketinggian kira-kira 8 meter.
Video itu telah mendapat lebih 1,500 tanda suka dan lebih 100 kali dikongsi semula oleh netizen.
Selain Tuan Ibrahim, Parlimen Kubang Kerian turut ditandingi oleh calon BN, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; calon Pakatan Harapan (PH), Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mohamad Rizal Razali.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Tuan Ibrahim memenangi Parlimen Kubang Kerian dengan majoriti 19,369 undi mengalahkan calon BN, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani yang mendapat 16,251 undi dan Datuk Dr Abdul Halim Yusof daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan 11,557 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!