Suri rumah rugi RM17,000, dakwa dipukau sebelum disamun

Tangkap layar video tular yang mendakwa tiga individu melakukan pukau dan samun terhadap seorang suri rumah di sebuah pasar raya di Ulu Tiram.
Tangkap layar video tular yang mendakwa tiga individu melakukan pukau dan samun terhadap seorang suri rumah di sebuah pasar raya di Ulu Tiram.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita kerugian RM17,000 selepas didakwa dipukau dua wanita dan seorang lelaki sebelum disamun dalam kejadian di sebuah pasar raya di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram di sini pada Ahad.

Kejadian berlaku semasa suri rumah berkenaan sedang membeli barang dapur pada jam 11 pagi sebelum dihampiri dua wanita tidak dikenali dan seorang daripadanya memegang lengan kanan mangsa.

Difahamkan tindakan suspek itu membuatkan mangsa pening dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa keluar dan memasuki sebuah kereta.

Mangsa kemudian diacukan pisau sebelum diminta menyerahkan barang kemas dipakainya.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah pam minyak pula menunjukkan mangsa mengekori seorang lelaki masuk ke dalam premis dipercayai bagi mengeluarkan duit dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Insiden itu didakwa mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM17,000 apabila menyerahkan barang kemas dan wang tunai RM10,000 kepada suspek berkenaan sebelum kejadian itu tular di media sosial.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pelangi Indah di sini pada Isnin dan mendakwa kejadian berlaku selepas dia dipercayai dipukau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedang mengesan dua perempuan dan seorang lelaki yang terbabit dalam kejadian samun membabitkan seorang suri rumah pada Ahad lalu.

"Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan kesemua suspek terbabit. Mangsa mendakwa menyerahkan wang sejumlah RM10,000 dan seutas rantai kepada suspek," katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, polis sedang memburu semua suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!