PRU15: Tiga calon DUN Manjoi tolak kempen serang peribadi
IPOH - Berkempen secara matang menjadi pilihan tiga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Masing-masing lebih gemar mempromosi diri berbanding memburuk-burukkan calon mahupun parti lawan.
Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Asmuni Awi berkata, kedua-dua calon lawan dari BN dan Perikatan Nasional (PN) merupakan rakan walaupun berlainan parti.
Menurut penyandang kerusi itu, setiap calon mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak pernah memandang rendah calon-calon lawan yang bertanding.
"Kita mempamerkan prestasi kita yang lalu dan dasar-dasar baharu yang kita nak bawa. Kita tak serang peribadi, serang kelemahan orang kerana yang pengundi nak tahu apa yang kita nak buat.
"Jadi kita bawa apa yang rakyat kehendaki dan masalah besar sekarang ini adalah masalah ekonomi, jadi kita cuba tonjolkan apa cadangan kita untuk mengatasi kekurangan yang ada," katanya ketika ditemui berkempen di Pasar Malam Taman Jati, di sini pada Jumaat.
Bagi calon PN, Hafez Sabri, beliau turut memilih untuk berkempen secara sihat dengan menawarkan kemampuan dan keupayaan diri untuk berkhidmat kepada masyarakat sekiranya dipilih nanti.
Menurutnya, pengalaman sebagai calon pada PRU14 lalu memudahkan gerak kerja kempen bertemu pengundi yang paling ramai di negeri ini.
"Kempen setakat ini sangat positif. Sambutan diberikan sangat baik atas faktor saya orang sini dan boleh nampak kemesraan apabila bertemu pengundi. Momentum lebih baik kali ini atas faktor saya pernah bertanding dan ada pusat khidmat di DUN Manjoi.
"Calon lain tak kurang hebat dan rapat dengan saya. Dua calon lain lebih senior dan persaingan sihat di DUN Manjoi ini cuma saya tawarkan diri saya mewakili orang muda namun bagi saya calon PH dan BN ada kelebihan masing-masing," katanya.
Sementara itu, calon BN, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz pula, kelebihan sebagai anak Gugusan Manjoi menjadi taruhan untuk meraih undi masyarakat tempatan.
Menurutnya, setelah sekian lama menanti akhirnya masyarakat di Manjoi memiliki calon yang benar-benar memahami susah payah rakyat di perkampungan terbesar di Malaysia itu.
"Keyakinan diri perlu ada untuk bertanding di kerusi DUN Manjoi ini tetapi bukan bermaksud terlebih yakin. Penyandang kerusi ini (Asmuni) dah pernah berkhidmat, jadi orang tahu dan kenal. Hafez pula ada pengalaman bertanding dua kali bertanding.
"Melihat kepada keadaan itu, gerak kerja BN di sini tak boleh sambil lewa. Kita ada kira-kira 90,000 pengundi di sini. Jadi isu-isu yang mahu dibawa sudah tentulah berkisar tentang kemudahan asas seperti Klinik Kesihatan Manjoi, isu banjir dan sebagainya," katanya.
Pada PRU15, kerusi DUN Manjoi menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu calon dari PH, Asmuni menentang calon PN, Hafez dan calon BN, Azizul Kama.
Asmuni pada PRU14 memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,532 undi menewaskan calon dari Pas dan BN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!