Murid tahun lima dikhuatiri lemas
KEMAMAN - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, Mohamad Aiman Asyraf Shahrulzaman dikhuatiri lemas selepas hanyut di bawa arus deras di Sungai Kuala Kemaman, berhampiran Pantai Marina, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa yang juga pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai dipercayai mandi bersama dua rakannya Mohd Saiful Asyraf Mohd Saiful Azhar, 12, dan Wan Wafiuddin Wan Mohd Dzulkhairy, 9.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan hilang selepas tenggelam dibawa arus deras akibat hujan lebat.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pasukan mencari dan menyelamat digerakkan ke lokasi sebaik sahaja panggilan kecemasan di terima pada jam 4.30 petang.
"Kita terima maklumat mengatakan mangsa yang tinggal di Taman Bukit Kuang Sejahtera bersama dua rakan yang juga murid dari SK Bukit Kuang datang berbasikal dan mandi di lokasi kejadian.
"Hujan lebat menjadi faktor paras air sungai meningkat dan semakin deras menyebabkan mangsa hanyut.
"Seramai kira-kira 50 anggota penyelamat termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Maritim Malaysia serta beberapa buah bot nelayan terlibat dalam operasi berkenaan," katanya.
Beliau berkata, kejadian tersebut adalah kali kedua dilaporkan berlaku dalam minggu ini dan orang ramai terutama ibu bapa dinasihatkan lebih berwaspada.
"Kes ini berlaku lebih kurang 24 jam selepas penemuan mayat murid tahun tiga, Mohammad Aman A. Suhimi yang maut akibat lemas di Sungai kampung batu 9, Ibok petang Khamis.
"Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak dan tidak membenarkan mereka bermain air ketika musim tengkujuh," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!