JDT bergaya ke separuh akhir
SKUAD Johor Darul Ta'zim mara ke separuh akhir TM Piala Malaysia 2022 dengan penuh 'bergaya' apabila menewaskan Kelantan FC 5-0, pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu mara ke separuh akhir dengan aggregat 8-0 hasil kemenangan 3-0 bagi aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, 5 November lalu.
Biarpun memiliki kelebihan tiga jaringan di tempat lawan, JDT bermula garang dengan mengasak ke gawang Kelantan FC sebaik wisel permulaan dalam usaha membuka jaringan.
Namun benteng pertahanan pelawat dilihat berjaya mengekang asakan-asakan berkenaan dan malah sesekali mengatur serangan balas ke gawang tuan rumah.
JDT akhirnya berjaya membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi tonggak import, Bergson Da Silva yang berjaya melepasi kawalan pertahanan Kelantan FC sebelum merembat leret bagi menewaskan penjaga gol, Ahmad Solehin Mamat.
Tersentak dengan gol berkenaan, kesebelasan Kelantan FC mula bangkit mengatur asakan ke gawang JDT dalam usaha menyamakan kedudukan.
Peluang terbaik buat Kelantan FC menjaringkan gol tiba pada minit ke-20 apabila Dzulfahmi Abdul Hadi berjaya melepasi kawalan pertahanan JDT, namun gagal menjaringkan gol biarpun hanya berdepan penjaga gol, Farizal Marlias.
Bergson menggamatkan stadium apabila meledak gol kedua pada minit ke-34 apabila menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti.
Seminit kemudian, Bergson melengkapkan hatrik apabila meledak gol ketiga JDT setelah memanfaatkan peluang keemasan di depan gawang pelawat.
Stadium Sultan Ibrahim bergema lagi pada minit ke-43 apabila Syahmi Safari menjaringkan gol keempat sebelum Nazmi Faiz Mansor menyumbat gol kelima bagi memastikan skuad Harimau Selatan itu selesa menuju ke bilik persalinan.
Babak kedua menyaksikan JDT mula memperlahankan tempo permainan, namun masih berjaya melancarkan beberapa serangan berbahaya ke gawang pelawat bagi menambah jaringan.
JDT dilihat berpeluang menambah jaringan pada minit ke-82, namun sepakan percuma penyerang import, Fernando Forestieri tinggi melepasi palang gol.
Menjelang penghujung perlawanan kedua-dua pasukan dilihat teurs buntu untuk menambah jaringan dan menyaksikan keputusan 5-0 berpihak kepada JDT, kekal hingga ke wisel penamat.
JDT – Farizal Marlias (kapten), Matthew Davies, Adam Nor Azlin, Safiq Rahim, Bergson da Silva, Akhyar Rashid, Nazmi Faiz Mansor, Natxo Insa, Fernando Forestieri, Jordi Amat, Syahmi Safari
KELANTAN FC – Ahmad Solehin Mamat, Khairul Helmi Johari, Muhammad Ghaffar Abdul Rahman, Muhammad Yusri Yuhasmadi (kapten), Dzulfahmi Abdul Hadi, Muhammad Alifh Aiman Mohamad Rosman, Abdul Latiff Suhaimi, Flipe Hereda Dos Santos, Muhammad Adam Nadzmi Zamri, Muhaimin Izuddin Muhamad Asri, Mohamad Shafiq Al-Hafiz Dawawi
PENGADIL – Suhaizi Shukri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!