PRU15: Kerajaan perlu umum cuti khas segera, mudahkan rakyat
SHAH ALAM- Cadangan pemberian cuti khas sebelum hari pengundian bagi memudahkan pergerakan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dipertimbangkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun, perkara tersebut masih menjadi teka-teki sedangkan tinggal beberapa hari sahaja PRU15 akan diadakan.
Sekalipun kerajaan belum memberi kata putus mengenai cuti umum khas pada 18 November 2022, sudah pasti ramai pihak sama ada kakitangan kerajaan mahupun swasta menunggu pengisytiharan tersebut.
Keputusan itu perlu dibuat segera bagi memudahkan rakyat untuk pulang mengundi.
Seperti yang diketahui umum, ramai rakyat Malaysia yang bekerja dan bermastautin di luar, dan memerlukan masa untuk pulang mengundi di kampung halaman. Pengumuman segera oleh kerajaan akan memudahkan mereka untuk mengatur perjalanan masing-masing.
Tidak dinafikan, ada beberapa buah negeri telah melakukan perkara tersebut namun, PRU ini melibatkan seluruh negeri. Oleh itu, lebih baik cuti umum khas itu diberi secara menyeluruh.
Sehingga Khamis, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sudah mengumumkan Jumaat depan sebagai cuti umum di negeri berkenaan bagi membolehkan pengundi luar pulang ke kawasan pengundian masing-masing pada 19 November ini.
Kerajaan juga disaran memberi cuti tambahan sebagai ganti memandangkan hari pengundian yang jatuh pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!