PRU15: MIC boleh menang lebih kerusi

Subramaniam (tengah) ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Subramaniam (tengah) ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
A
A
A

TELUK INTAN - MIC berada dalam kedudukan lebih baik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini untuk memenangi lebih banyak kerusi yang ditandingi.

Bekas Presiden MIC, Tan Sri Dr S Subramaniam berkata, keyakinan itu berdasarkan kebangkitan sokongan pengundi terutama kalangan masyarakat India sendiri.

"Kita boleh nampak sokongan lebih tinggi dan saya mempunyai keyakinan besar bahawa kita akan menang lebih banyak kerusi berbanding PRU sebelum ini.

"Pada PRU14, kita memang dua kerusi (Parlimen), kali ini ada harapan kita boleh menang sekurang-kurangnya empat ke lima kerusi atau kalau nasib baik tambah lagi," katanya.

Beliau ditemui pemberita sempena lawatan kerja kempen PRU15 di Parlimen Teluk Intan di sini pada Jumaat.

Subramaniam berkata, meskipun parti lawan terutama Pakatan Harapan (PH) meletakkan barisan calon yang dianggap gergasi, itu tidak menjamin sokongan rakyat.

Katanya, seperti kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perak, faktor itu tidak memberi sebarang perbezaan kepada pengundi kecuali kalangan ahli dan penyokong mereka sendiri.

"Setiap parti ada giant killer sendiri, kami juga. Jadi saya tidak fikir sokongan yang mereka (PH) ada pada 2018, masih ada sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Kita pula sudah berada dalam kedudukan lebih baik untuk mendapat sokongan daripada pengundi," katanya.

Beliau berkata, pilihan raya kali ini mencipta sejarah kepada parti apabila buat pertama kali MIC bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan menerusi Naib Presidennya, Datuk T Murugiah.

Katanya, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai calon adalah tepat atas rekod perkhidmatannya yang boleh menarik sokongan masyarakat Cina yang menjadi pengundi majoriti di situ.

"Jentera kita bergerak dengan baik untuk mendapat lebih peratusan daripada kumpulan pengundi India dan Melayu. Jika 20 atau 30 peratus masyarakat Cina beri sokongan, pasti calon kita boleh menang," katanya.

Kerusi Parlimen Teluk Intan sebelum ini ditandingi calon Gerakan.

Pada PRU14, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memenangi kerusi tersebut Parlimen setelah mengalahkan Datuk Seri Mah Siew Keong ketika itu Presiden Gerakan dengan majoriti 11,179 undi.

BN memperuntukkan 10 kerusi Parlimen, tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak dan satu DUN di Pahang untuk MIC pada PRU15 kali ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!